Polis berkas 18 individu culik lelaki warga Palestin

Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Palestin menempuh detik mencemaskan apabila diculik dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi dijalankan berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang berumur 31 tahun sedang berbual bersama seorang rakan yang juga warga Palestin di hadapan sebuah premis di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya didatangi beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sebelum suspek bertindak menarik mangsa masuk dan melarikannya.

"Rakan mangsa yang berada di lokasi tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Beliau berkata, susulan itu, satu pasukan diatur gerak bagi memburu individu yang terlibat serta menyelamatkan mangsa.

"Operasi dijalankan pada 29 September memberkas seramai 13 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan di Kuala Langat sekali gus berjaya menyelamatkan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Hasil tangkapan itu, polis kemudian berjaya memberkas tiga lelaki dan dua wanita di Ampang, Beranang dan Melaka beberapa hari selepas itu," katanya.

Menurutnya, kesemua 18 suspek ditahan berumur antara 21 hingga 42 tahun.

"Semakan dijalankan mendapati tujuh daripada 18 individu ditahan mempunyai rekod jenayah

"Selain itu, saringan air kencing dijalankan mendapati empat daripada 18 suspek positif dadah jenis syabu," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.