Dua penunggang motosikal maut kemalangan

Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Gambar kecil: Shahrul Effendi, Taufiq Ikhwan Akmal
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Gambar kecil: Shahrul Effendi, Taufiq Ikhwan Akmal
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas di sini, pada petang Khamis.

Kejadian yang berlaku jam 2.35 petang itu menyebabkan mangsa, Shahrul Effendi Sabtu, 23, yang bekerja sebagai pembantu kantin dan remaja, Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah,15, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggang remaja lelaki terbabit dari arah bandar Alor Gajah menuju ke Air Paabas cuba memotong sebuah Perodua Bezza.

Menurutnya, saksi bebas memaklumkan kepada pihak polis, motosikal remaja itu bagaimanapun telah hilang kawalan lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang ditunggangi Shahrul Effendi dari arah bertentangan.

"Pelanggaran itu mengakibatkan Taufiq Ikhwan Akmal tercampak ke kiri jalan sebelum dilanggar kereta yang dipandu seorang suri rumah berusia 23 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut waris keluarga.

"Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ujarnya, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: