Penunggang motosikal ditumbuk, ditendang kerana bunyikan hon

Tular insiden seorang lelaki menyerang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat - Klang pada Ahad.
Tular insiden seorang lelaki menyerang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat - Klang pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Berang dibunyikan hon, sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta bertindak menahan seorang penunggang motosikal, dengan salah seorang daripadanya bertindak keterlaluan apabila menyerang mangsa di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima satu laporan pada Isnin berhubung kejadian tersebut yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, menghala ke Klang.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 21 tahun telah membuat laporan polis jam 12.44 pagi, Isnin menyatakan dia telah ditahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga orang lelaki pada Ahad, jam 7.15 malam.

Kata beliau, seorang daripada kumpulan lelaki tersebut telah memukul dan merosakkan motosikal pengadu.

"Hasil siasatan mendapati pengadu yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC telah membunyikan hon pada sebuah kereta jenis Proton Saga kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

"Ekoran itu, pemandu kereta tersebut telah menghalang pergerakan pengadu di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat - Klang dan seorang suspek telah menolak pengadu hingga jatuh daripada motosikal, seterusnya mencekik, menumbuk muka, menendang perut serta kaki pengadu beberapa kali," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hoong Fong berkata, kejadian tersebut telah dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Namun begitu katanya, sebelum beredar suspek sekali lagi bertindak keterlaluan dengan menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada kenderaan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, akibat diserang suspek, mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di bibir, tulang rusuk serta kaki.

Selain itu menurutnya, mangsa juga mengalami kerugian sebanyak RM250 akibat kerosakan pada motosikalnya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat.

Jelasnya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan mendatangkan kecederaan.

Tambahnya, bagi kesalahan khianat, hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kes ini, pihak polis dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam masa terdekat," ujarnya.

Dalam pada itu tegasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan kes tersebut bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa memandu agar keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin dan mengelakkan daripada berlaku sebarang kejadian tidak diingini," ujarnya.