Penjawat awam didakwa terima suapan berkait kerja urus jenazah

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas dituduh atas 12 pertuduhan menerima suapan berkait kerja-kerja pengurusan jenazah di HoSHAS antara tahun 2021 hingga 2022.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas dituduh atas 12 pertuduhan menerima suapan berkait kerja-kerja pengurusan jenazah di HoSHAS antara tahun 2021 hingga 2022.
A
A
A

KUANTAN - Seorang Penolong Pegawai Perubatan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas12 tuduhan menerima suapan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai antara RM100 hingga RM800 tanpa balasan daripada dua individu dipercayai ejen pengurusan jenazah yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital terbabit.

Tertuduh didakwa menerima bayaran dengan jumlah keseluruhan RM3,350 itu antara April 2021 hingga Mac 2022 melalui transaksi secara dalam talian di sebuah cawangan bank di Bandar Jengka, Maran.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bercagar selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima suapan berkaitan kerja pengurusan jenazah diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes itu selesai dibacakan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima suapan berkaitan kerja pengurusan jenazah diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes itu selesai dibacakan.

Alasannya, tertuduh yang telah berkhidmat selama 31 tahun sebagai penjawat awam terpaksa menanggung keluarga dengan gaji bersih RM2,500 sebulan.

"Tertuduh juga mempunyai dua anak mengidap penyakit kronik, jantung dan kanser.

"Anaknya yang mengidap kanser kronik telah meninggal dunia Mac lalu iaitu kira-kira sebulan selepas dia ditahan," katanya.

Shahidah Muslimah berkata, tertuduh memerlukan wang untuk menampung kos rawatan anaknya itu dan pada masa sama, meminta mahkamah mempertimbangkan rekod baik tertuduh selama berkhidmat.

"Anak guam saya tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sebelum ini malah tiga kali dipilih sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

"Justeru saya mohon jumlah jaminan dikurangkan pada kadar paling minimum memandangkan tertuduh juga memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan," katanya.

Ahmad Zamzani kemudiannya mengurangkan wang jaminan kepada RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.