Hulu Selangor perbandaran mampan untuk semua

Komitmen MPHS capai matlamat SDGs 2030

A
A
A

No Image Caption

TANGGAL 21 Oktober 2021 merupakan detik yang amat bermakna bagi warga daerah Hulu Selangor apabila daerah itu secara rasminya telah diisytiharkan sebagai perbandaran.

Pengisytiharan yang diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari itu disaksikan seluruh rakyat Hulu Selangor dengan perasaan penuh bangga dan gilang-gemilang.

Seperti mana yang diketahui umum, daerah Hulu Selangor merupakan kawasan sumber tadahan air yang membekalkan sebahagian besar keperluan rakyat di Selangor. Malah, daerah itu turut menjadi ‘pembekal oksigen’ di Lembah Klang memandangkan 50 peratus kawasannya dilitupi dengan hutan simpan kekal (HSK).

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mempraktikkan pembangunan mampan dalam menguruskan daerah Hulu Selangor. Oleh itu, bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembangunan mampan itu dilaksanakan secara komprehensif, Jawatankuasa Smart Mampan (JSM) telah ditubuhkan di peringkat daerah Hulu Selangor.

Pembangunan mampan dan JSM

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



Penubuhan JSM adalah untuk menyokong pelaksanaan Smart Selangor Mampan (SSM) 2035 yang dijenamakan semula daripada Agenda 21 Tempatan (LA21).

Merujuk kepada SSM 2035, usaha itu menggariskan beberapa perkara melibatkan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan agenda pembangunan mampan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh meliputi;

-Semua PBT Selangor mempunyai struktur organisasi pembangunan mampan atau Agenda 21 Tempatan bertanggungjawab terhadap perancangan dan pelaksanaan inisiatif mampan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis; dan

-Semua PBT Selangor melaksanakan inisiatif Agenda 21 Tempatan berdasarkan kepada keperluan program dan inisiatif yang dilaksanakan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat PBT masing-masing.

Bersidang setiap bulan, JSM dipengerusikan Yang Dipertua MPHS manakala keanggotaannya terdiri daripada Ahli-ahli Majlis, ketua-ketua jabatan MPHS dan agensi-agensi kerajaan negeri serta daerah.

JSM bertanggungjawab membuat keputusan berkaitan isu kemampanan selain menyelaras program serta inisiatif mampan serta hijau termasuklah isu-isu berkaitan Bandar Selamat dan Program Rendah Karbon. JSM juga berfungsi menghubungkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat swasta yang ingin melaksana dan mempromosi aktiviti mampan di daerah Hulu Selangor selari dengan 17 matlamat SDGs 2030.

Kesejahteraan warga

No Image Caption



MPHS komited dalam memastikan kesejahteraan warga Hulu Selangor menerusi perancangan dan pelaksanaan projek-projek mampan yang signifikan yang turut melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat swasta serta komuniti di Hulu Selangor.

Antara projek yang dilaksanakan ialah Program Kebun Komuniti di bawah Jabatan Landskap MPHS. Projek itu selaras dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) yang dilancarkan di peringkat Persekutuan pada 2021 yang bermatlamatkan Integrasi komuniti selain penyediaan akses kepada makanan berkualiti bagi menyokong keperluan harian.

Selain itu, pengurusan sisa turut dititikberatkan oleh MPHS dengan memperkemaskan budaya pengasingan sampah dan kitar semula dalam kalangan warga Hulu Selangor. Usaha ini melibatkan penyediaan Pusat Kitar Semula di Kuala Kubu Bharu, Jalan Bunga Kertas, Bandar Bukit Sentosa, Bandar Utama Barang kali dan Hulu Bernam dan juga Pusat Kitar Semula Pintar SIDINA di Jalan Adenium, Bandar Bukit Beruntung.

Komitmen MPHS itu disusuli dengan pelaksanaan Program “Trash4Cash” dan Sisa Jadi Dana (SIDINA) bagi menyemarakkan lagi amalan kitar semula sisa minyak masak dan sampah sekali gus menjana pendapatan warga Hulu Selangor. Malah, MPHS turut menyediakan aplikasi atas talian kepada warga daerah itu yang mana hasil jualan minyak masak terpakai dan sampah dimasukkan ke dalam aplikasi berkenaan.

Komuniti dan infrastruktur mampan

No Image Caption



MPHS turut menekankan konsep bottom-up dalam mencapai matlamat pembangunan mampan rendah karbon di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Geran Komuniti Mampan sebagai entry point bagi program-program hijau dan mampan di peringkat komuniti berjumlah RM100,000 sebelum dinaikkan kepada RM120,000 pada tahun 2023.

Antara program yang telah dilaksanakan oleh komuniti yang menerima geran tersebut merangkumi;

-Projek pemasangan Lampu LED di 16 buah Tadika Hulu Selangor oleh Pertubuhan Selempang Merah Malaysia (PSSM) dan Kebun Komunti Taman Adenium Jalan 5 & 6;

-Program penanaman pokok dan Kebun Komuniti oleh Persatuan Penduduk Jalan Anggerik 3 (PPA3);

-Pemasangan unit Solar LED, Unit CCTV dan Unit Tangki Air Statik (Tadahan Air Hujan) di Pusat Kitar Semula Jalan Inai, Bukit Beruntung; dan

-Program Pembersihan Sungai oleh Kelab Belia Jati Diri Serendah (KBJS).

MPHS turut menggalakkan para pemaju dan pelabur di daerah Hulu Selangor meningkatkan penggunaan bahan binaan mesra alam, penyediaan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH), penggunaan grass create pada landskap, penggunaan mentol cekap tenaga pada lampu jalan selain penyediaan infrastruktur pengecasan kereta elektrik (EV).

Pencapaian dan perancangan

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor,Ng Sze Han (duduk, tengah) ketika merasmikan Seminar Bulan Senibina Landskap Sedunia dan Penyampaian Malaysia Book Of Records kepada MPHS atas Penganjuran Sambutan World Landscape Architecture Month selama tujuh tahun berturut-turut pada April 2023.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor,Ng Sze Han (duduk, tengah) ketika merasmikan Seminar Bulan Senibina Landskap Sedunia dan Penyampaian Malaysia Book Of Records kepada MPHS atas Penganjuran Sambutan World Landscape Architecture Month selama tujuh tahun berturut-turut pada April 2023.



Dalam pada itu, MPHS turut komited mencapai status mampan di bawah Pelaksanaan Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets 2.0) setiap tahun.

Malah, MHDS menunjukkan rekod cemerlang apabila memperoleh tempat kedua Penghargaan Bandar Mampan Terbaik 2022 bagi kategori Perbandaran selain Anugerah Bandar Bahagia Tahun 2021 sempena Hari Kebahagiaan Sedunia yang diadakan pada tahun lalu termasuk menerima empat Anugerah Berlian dan empat status Provisional Certificate sempena Majlis Penyampaian Anugerah Bandar Rendah Karbon pada April 2022.

Usaha itu diteruskan sasaran pada masa depan untuk menjadikan Kawasan Perindustrian di Bandar Bukit Beruntung dan Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah sebagai Zon Bandar Rendah Karbon.

MPHS turut merangka serta melaksanakan pelan pembangunan lima belas tahun bermula 2020 sehingga 2035 yang berorientasikan people-centic dengan sasaran 500,000 penduduk.

Mencapai sasaran berkenaan, enam tema pembangunan telah ditetapkan MPHS iaitu Pembangunan Sumber Semula jadi dan Warisan, Persekitaran Komuniti Lestari, Penetapan Konsep Pembangunan Pintar, Sistem Perhubungan Jalan Raya dan Infrastruktur Efisien, Penawaran Pakej Pelaburan Menarik serta Pembangunan Modal Insan Insan Efektif dan Berdaya Saing.

Daripada enam tema tersebut, MPHS turut memperincikannya dengan empat teras yang mampu memperkukuhkan matlamat pembangunan mampan Hulu Selangor iaitu Pembangunan dan Peluang Ekonomi Yang Saksama, Pengurusan Sumber Asli Yang Mampan, Pembangunan Komuniti Sejahtera dan Urus Tadbir Efektif dan Efisien.

#DaripadaAndaUntukAnda

#MajuPerkasaHasilSemua

#AllahPeliharakanlahHuluSelangor