Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun Selangor diumumkan

Amirudin selepas melancarkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun dan Sesi Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Isnin. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Amirudin selepas melancarkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun dan Sesi Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Isnin. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun Selangor yang mempunyai lima kerangka utama, malam ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar berkata, kerangka pertama membabitkan Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti, Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi dengan 14 tawaran disediakan.

"Di dalam tekad ini, terdapat 14 tawaran seperti memfokuskan usaha pembangunan ekonomi kepada industri pertanian moden, aeroangkasa, rel dan bas elektrik, perkhidmatan 5G, robotik dan automasi," katanya.

Beliau ketika berucap di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, menambah, ia termasuk kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharu serta e-sports.

Selain itu, beliau berkata, 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi ditawarkan kepada orang muda Selangor dengan menarik pelaburan tempatan dan luar negara.

"Kerajaan negeri Selangor juga akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menubuhkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Pelabuhan Klang, agar Selangor menjadi destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara," katanya.