Elak sebut Insya-ALLAH selepas berdoa, ikuti tatacara yang betul menurut syarak

ELAKKAN bercakap insya-ALLAH selepas berdoa. -Gambar hiasan
ELAKKAN bercakap insya-ALLAH selepas berdoa. -Gambar hiasan
A
A
A

PERASAN atau tidak, kita sering kali mengungkapkan ucapan insya-ALLAH hampir dalam setiap pertuturan.

Andai melibatkan janji atau sebarang usaha pada masa akan datang, tidak mengapalah, tetapi ada orang tetap melafazkan insya-ALLAH (jika ALLAH izinkan) biarpun ketika itu sedang berdoa kepada ALLAH.

Ketahuilah bahawa bukan semua situasi, perkataan tersebut sesuai dituturkan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, kalimah insya-ALLAH tidak boleh disebut selepas berdoa.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Tidak kiralah sama ada untuk diri sendiri atau orang lain, ungkapnya.

“Sebagai contoh, menyebut ‘Semoga ALLAH merahmati’ atau ‘Semoga dia menutup aurat dengan sempurna’, kemudian ditambahkan perkataan insya-ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak dibolehkan kerana telah thabit dalam sebuah hadis yang memerihalkan perkara itu,” katanya menerusi Maktabah Albakri.

Hadis yang dimaksudkan itu adalah daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya ALLAH ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya ENGKAU mahu, Ya ALLAH ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya ENGKAU mahu. Akan tetapi, hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya ALLAH sama sekali tidak ada yang memaksa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu kemudian menukilkan pandangan Imam Ibn Hajar al-’Asqalani yang menyatakan, hadis itu jelas menujukkan larangan berdoa dalam keadaan tidak yakin.

“Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan, tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada ALLAH berkaitan hal agama dan dunia. Itu termasuk dalam ucapan yang mustahil.

“Adapun, Imam al-Nawawi menyatakan, hukum orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih.

LAFAZ insya-ALLAH hanya disunatkan sebagai bentuk adab dengan ALLAH SWT ketika menyuarakan tekad untuk melakukan sesuatu pada masa depan atau mengharapkan terhasilnya sesuatu yang disebutkan. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
LAFAZ insya-ALLAH hanya disunatkan sebagai bentuk adab dengan ALLAH SWT ketika menyuarakan tekad untuk melakukan sesuatu pada masa depan atau mengharapkan terhasilnya sesuatu yang disebutkan. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Di samping itu, hadis berkenaan juga menunjukkan bahawa seseorang perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa dan pada masa sama mengharapkan agar ALLAH SWT menerima doanya dan jangan ada rasa putus asa dengan rahmat ALLAH,” katanya memetik inti pati yang terkandung dalam kitab Fath al-Bari.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menegaskan, lafaz insya-ALLAH hanya disunatkan sebagai bentuk adab dengan ALLAH SWT ketika menyuarakan tekad untuk melakukan sesuatu pada masa depan atau mengharapkan terhasilnya sesuatu yang disebutkan.

“Namun, menyebutnya selepas berdoa tidak dibolehkan sama sekali kerana terdapat larangan yang jelas daripada Rasulullah SAW,” tegasnya.

Agamawan itu turut menitipkan pesanan agar kita berdoalah kepada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh.

“Sertakan kepercayaan, tawakal dan pengharapan kepada-NYA agar permohonan kita itu diperkenankan,” ungkapnya.