[VIDEO] Mengaku tak kemuka penyata pendapatan, wanita rayu tidak dipenjara

A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik syarikat ejen penjualan dan penyelenggaran penapis air menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis ketika merayu tidak dikenakan hukuman penjara atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B dalam tempoh lima tahun membabitkan nilai cukai pendapatan RM90,606.43.

Menurut Noorzadila Saman, 38, dia mengaku tidak menghantar penyata pendapatan kerana tidak arif mengenainya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Saya mohon hakim untuk tidak jatuhkan penjara pada saya kerana saya ada anak kecil dan mohon jasa baik hakim dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk kurangkan hukuman.

"Saya juga menanggung kos perubatan ibu yang terlantar sakit di kampung dan saya juga bimbang kesihatan ibu saya jadi lebih teruk jika saya dipenjarakan," katanya.

Tambahnya, dia juga tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bergantung kepada hasil penjualan selain perlu menjelaskan pinjaman bank setiap bulan.

Sebelum itu, Noorzadila mengaku bersalah di hadapan Majistret Noorhafizah Ishak selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Noorzadila
Noorzadila

Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM646,498.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112( I A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin dan Kwan Huey Shin.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes bagi memberi tempoh kepada OKS untuk serahkan dokumen kepada LHDN.