Udang galah, lampam antara lebih 25 juta benih tempatan dilepaskan - DOF

SHAH ALAM - Udang galah, lampam sungai dan puyu antara 25,606,699 ekor benih tempatan bernilai RM8,051,769.09 yang dilepaskan sejak tahun lalu di perairan umum bagi memperkaya biodiversiti sumber perikanan darat.
Langkah itu diambil Jabatan Perikanan (DOF) menerusi Program Pelepasan Ikan ke Perairan Umum akibat aktiviti eksploitasi penangkapan yang tidak terkawal, pencemaran air, pencerobohan rizab sungai, kemusnahan habitat semula jadi serta persaingan daripada pencerobohan spesies ikan asing invasif.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pada tahun lalu, jumlah pelepasan benih ikan tempatan direkodkan sebanyak 19,792,113 ekor dengan nilai RM6,021,087.59, manakala tahun ini setakat Oktober melibatkan jumlah 5,814,586 ekor bernilai RM2,030,681,50.
Menurutnya, spesies utama yang dilepaskan ialah udang galah, lampam sungai, baung sungai, terbul dan puyu.

"Berpandukan dapatan kajian inventori saintifik yang teliti, program ini memfokuskan usaha pelepasan semula spesies ikan asli tempatan yang bernilai tinggi dan berstatus terancam seperti kelah, lampam sungai, baung, temoleh dan udang galah terus ke habitat asalnya, santuari, mahu pun kawasan zon konservasi terpilih.
"Di samping itu, inisiatif ini berperanan penting sebagai pemangkin sosioekonomi dalam memperkasa taraf hidup masyarakat setempat, khususnya nelayan darat dengan menjana sumber pendapatan yang mampan dan menyokong keterjaminan bekalan makanan berasaskan protein akuatik," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, program ini menjadi platform strategik pendidikan awam dalam membina kesedaran masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat agar sama-sama menggalas tanggungjawab memelihara ekosistem sungai dan tasik demi kelangsungan generasi akan datang.

Jelasnya, pelaksanaan program itu tidak tertumpu kepada mana-mana lokasi perairan perairan darat.
"Bagaimanapun, berdasarkan kepada data tahun 2026, perairan sungai merupakan jenis perairan utama program pelepasan ikan ini dilaksanakan diikuti perairan tasik, paya, kolam, empangan dan lombong.
"Pemilihan lokasi adalah berdasarkan kajian inventori perikanan darat yang dilaksanakan dan kawasan yang mempunyai kerbengantungan sumber daripada nelayan darat setempat," ujarnya.
Tegasnya, DOF berharap agar mana-mana individu tidak melepaskan sebarang jenis ikan ke perairan umum tanpa kebenaran dan nasihat daripada jabatan.
"Mana-mana individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang, berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) di negeri masing-masing.
"Bagi negeri Perlis misalnya, mana-mana individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan denda sebanyak tidak lebih RM20,000 jika disabitkan kesalahan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
