[VIDEO] Penduduk tak tahan hidup dengan lalat

A
A
A

GURUN - Masalah lalat yang tidak berkesudahan masih membelenggu penduduk sekitar Gurun dan Jeniang yang berdepan isu itu sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Penduduk, Siti Hawa Jusoh, 67, berkata, kehadiran lalat dengan jumlah yang banyak serta sukar dikawal itu menyebabkan mereka tidak senang duduk terutama ketika mahu menyediakan makanan dan waktu makan.

Menurutnya, situasi lebih sukar apabila menerima kehadiran tetamu yang berkunjung ke rumah lebih-lebih lagi apabila menganjurkan majlis tertentu di kampung.

Azhar dan Siti Hawa menunjukkan kehadiran lalat yang banyak menganggu kehidupan seharian penduduk.
Azhar dan Siti Hawa menunjukkan kehadiran lalat yang banyak menganggu kehidupan seharian penduduk.

"Saya ada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan rehat mencukupi, namun dengan keadaan rumah yang banyak lalat, macam mana saya nak rehat, sehinggakan dengan mudah hinggap di muka dan badan.

"Bila ada kenduri, sudah pasti mengganggu tetamu yang mahu makan. Kadang-kadang saya terfikir pandangan orang yang mungkin tak tahu ada sebuah ladang ternakan ayam tidak jauh dari kampung yang berkemungkinan datang dari situ," jelasnya.

Ibu tunggal itu berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan penyelesaian yang tidak meminggirkan mana-mana pihak termasuk penduduk dan pengusaha ladang.

Siti Hawa
Siti Hawa

Ketua Sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Azhar Ali berkata, penduduk tertekan, selain terpaksa tanggung malu kerana bimbang wujud persepsi negatif masyarakat luar dengan kehadiran banyak lalat di kampung mereka.

Artikel Berkaitan:

Azhar mendakwa, kewujudan sebuah ladang ternakan ayam kira-kira dua kilometer dari perkampungan itu mungkin menjadi faktor kehadiran banyak lalat.

Kehadiran lalat yang banyak menyebabkan penduduk tertekan.
Kehadiran lalat yang banyak menyebabkan penduduk tertekan.

"Lalat lebih banyak pada hari tertentu, seolah-olah kena serangan. Nak masak dan makan pun susah, sebelah tangan suap makanan, sebelah lagi halau lalat.

"Walaupun makanan sudah ditutup, tetapi ada yang bersaiz kecil yang dapat masuk dan hinggap di makanan. Banyak kos kena keluarkan pula untuk beli kertas perangkap lalat," katanya.

Jelasnya, pendedahan dibuat bagi memastikan tahap kebersihan dan kesihatan awam dapat dipertingkatkan.

Dua tahun lalu, Sinar Harian pernah melaporkan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengusaha ladang ayam yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjadi punca kehadiran lalat secara tidak terkawal sehingga mengganggu kegiatan harian penduduk.

Laporan pada 18 April 2021 itu menyebut kenyataan Exco Pertanian, Industri Makanan, Peladangan dan Komoditi Kedah ketika itu, Datuk Azman Nasrudin yang menjelaskan bahawa terdapat tujuh buah ladang ayam beroperasi di sekitar Padang Lembu, Gurun yang dikatakan menjadi punca kepada kehadiran banyak lalat.

Menurut beliau, najis ayam yang dikumpul dan dihantar bagi proses menghasilkan baja kompos juga dipercayai menjadi punca kepada pembiakan lalat secara tidak terkawal.

Azhar menunjukkan kertas perangkap lalat yang digunakan penduduk setiap hari.
Azhar menunjukkan kertas perangkap lalat yang digunakan penduduk setiap hari.

Susulan itu, pada 16 November 2021, satu kenyataan lagi dikeluarkan menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah melantik perunding bagi mengkaji penyelesaian kepada masalah kehadiran lalat yang banyak sepanjang tahun di Gurun dan sekitarnya.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Dr Hayati Othman pula berkata, kehadiran lalat di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada kawasan penternakan ayam dan pengumpulan najis ayam yang berlaku secara bermusim mengikut aktiviti di ladang ayam.

Dr Hayati bagaimanapun memberitahu pelbagai kaedah dan peralatan digunakan termasuklah melantik konsultan bagi mengatasi masalah lalat di kawasan berkenaan yang mengganggu kehidupan penduduk khususnya di Gurun dan Jeniang.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu lalat: Tindakan tegas jika pengusaha ladang ayam ingkar SOP

Kedah lantik konsultan atasi masalah lalat