Pengetua maahad tahfiz tidak mengaku kemuka tuntutan palsu RM16,894

MELAKA - Seorang pengetua maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran makanan bermasak bernilai RM16,894, dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Kadir Husin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yangmerupakan pengetua beroperasi di Pulau Besar itu didakwa menggunakan dengan niat memperdayakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) satu dokumen iaitu Borang Permohonan Pembelian Barang/Perkhidmatan JAIM berkaitan tuntutan bayaran membekalkan makanan bermasak untuk 20 pelajar bagi Februari 2024 berjumlah RM16,894.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di JAIM, Bukit Palah di sini pada 29 Februari 2024, sedangkan jumlah hari pembekalan makanan bermasak yang layak dituntut bagi 20 pelajar berkenaan hanya sembilan hari.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Beliau berkata, kesalahan di bawah Seksyen 18 merupakan kesalahan serius dan jumlah jaminan dicadangkan adalah munasabah bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, peguam, Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung dua anak berusia 17 dan enam tahun yang masih bersekolah.
Beliau berkata, tertuduh merupakan penjawat awam berjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh reman selama tiga hari bermula 24 hingga 27 Februari lalu.
Katanya, tertuduh hanya menerima notis perlu hadir ke mahkamah dua hari lalu iaitu pada 17 November namun masih hadir tanpa gagal.
"Jumlah jaminan bukan bertujuan menghukum tertuduh, sebaliknya bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.
"Anak guam saya mempunyai dua anak yang masih memerlukan pembiayaan pendidikan, manakala isterinya yang juga seorang guru bertugas di Merlimau," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

