Penjana Kerjaya: Bekas pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

Muhammad Fauzi (tengah) didakwa menyerahkan dokumen palsu kepada PERKESO, di bawah Penjana Kerjaya 2.0, dua tahun lalu.
Muhammad Fauzi (tengah) didakwa menyerahkan dokumen palsu kepada PERKESO, di bawah Penjana Kerjaya 2.0, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pemilik syarikat kontraktor pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan termasuk pilihan, menyerahkan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana), dua tahun lalu.

Muhammad Fauzi Abdul Latiff, 30, yang kini bekerja sebagai penyelia di syarikat lain, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa sebagai pemilik Syarikat MFL & Associates Enterprise, telah memasukkan 14 nama pekerjanya dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Nursofieyana Muhamad Zamri.

Perbuatan didakwa dilakukan dengan niat untuk memperdaya dan mengelirukan PERKESO bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu sedangkan 14 penama tersebut bukanlah kakitangan syarikat berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 23 Mac dan 23 April 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang membawa hukuman ppenjarakan tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa sebagai pemilik syarikat sama, telah menggunakan dua Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Prambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) sebagai tulen, dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen tersebut adalah palsu, pada tarikh dan lokasi serupa.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM di sini sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, Mohamed Musthafa merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa, isteri dan seorang anak berusia dua tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan kes.