Impak letupan seperti gempa bumi

Dr Ghassan (tengah) menjelaskan Hospital Al-Ahli yang hampir lumpuh dan menempatkan pesakit serta rakyat Palestin dibedil roket Israel pada Selasa. - Agensi
Dr Ghassan (tengah) menjelaskan Hospital Al-Ahli yang hampir lumpuh dan menempatkan pesakit serta rakyat Palestin dibedil roket Israel pada Selasa. - Agensi
A
A
A

GAZA CITY - "Kami sedang merawat pesakit dan tidak semena-mena berlaku letupan yang sangat kuat. Siling di bilik pembedahan runtuh."

Demikian pengalaman menakutkan diceritakan Dr Ghassan Abu Sittah yang bertugas di Hospital Al-Ahli Arab di Genting Gaza yang dibedil roket Israel.

Menurut Dr Ghassan, impak letupan juga seperti gempa bumi yang menggegarkan seluruh bangunan hospital.

Dr Ghassan adalah pakar bedah Britain kelahiran Palestin dari London dan bertugas sebagai sukarelawan untuk pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan atau Medecines Sans Frontieres (MSF).

Sebelum ini, beliau bertugas di Hospital Al-Shifa, namun berpindah ke Hospital Al-Ahli kerana mahu membantu rakan setugas yang terpaksa merawat ratusan mangsa yang cedera termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Terdapat bunyi peluru berpandu yang bingit dan disusuli bunyi dentuman yang amat kuat.

"Saya melihat sendiri orang awam yang berlumuran darah hanya mampu berjalan ketika menyelamatkan diri," katanya.

Ujar Dr Ghassan lagi, selepas hospital itu dibedil, beliau berlari menuju ke halaman hospital yang sedang terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Halaman hospital dipenuhi mayat dan cebisan daging manusia," katanya yang menganggap insiden pengeboman itu sebagai pembunuhan beramai-ramai orang awam.

Sehari sebelum pengeboman itu, Dr Ghassan memberitahu keluarganya didatangi Polis Metropolitan London dan menyoal siasat isterinya kerana menerima laporan bahawa seseorang daripada rumahnya 'merancang untuk pergi ke zon perang'.

"Saya benar-benar ingin tahu siapa yang keluarkan arahan supaya menyoal siasat isteri saya, hospital mana saya bertugas dan apa tujuan saya ke sana (Gaza).

"Tidak lama selepas itu, hospital tempat saya bertugas telah dibom," katanya yang mendedahkan hampir 40 peratus mangsa cedera di Gaza adalah kanak-kanak.

Ribuan penduduk Gaza berlindung di Hospital Al-Ahli Arab kerana percaya ia tempat selamat berbanding hospital lain disebabkan ia dibiayai oleh kumpulan kebajikan Kristian dan tidak mungkin menjadi sasaran serangan udara Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita WAFA melaporkan wilayah Palestin akan berkabung selama tiga hari sebagai memperingati ratusan nyawa yang terkorban dalam insiden pengeboman itu. - Agensi