Kemanusiaan yang hilang, Israel bom hospital

Beberapa pesakit yang dirawat di atas lantai maut selepas Hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan Al-Zaitoon dibedil roket Israel. - QNN
Beberapa pesakit yang dirawat di atas lantai maut selepas Hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan Al-Zaitoon dibedil roket Israel. - QNN
A
A
A

GAZA CITY - Sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Jika disahkan, angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.

“Ini adalah keterlaluan dan sekali lagi ia menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa orang awam,” kata Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di media sosial.

Sementara itu, Raja Jordan Abdullah II, menggelar serangan itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' dan 'memalukan manusia'.

Kementerian kesihatan Gaza mengeluarkan kenyataan menjelaskan hospital itu telah memainkan peranan penting dalam menawarkan perlindungan kepada orang awam.

“Hospital itu menempatkan ratusan orang yang sakit dan cedera serta orang ramai dipindahkan secara paksa dari rumah mereka,” kata kementerian itu.

Berpuluh-puluh ribu keluarga telah berpusu-pusu ke hospital-hospital yang hampir lumpuh di Gaza bagi mencari perlindungan daripada serangan tentera Israel yang tidak berkesudahan.

Artikel Berkaitan:

Rakaman Al Jazeera dari tempat kejadian menunjukkan anggota paramedik dan orang awam memasukkan mayat dalam beg atau menutupnya dengan selimut putih.

Malah, percikan darah dan beberapa kereta yang dibakar kelihatan di halaman hospital yang gelap.

Mustafa Barghouti, pemimpin parti politik Inisiatif Nasional Palestin (PNI) memberitahu Al Jazeera bahawa serangan hospital itu seharusnya mendorong pemimpin dunia mempersoalkan sokongan mereka terhadap Israel.

"Tiada sesiapa pun di dunia yang menyerang hospital di mana-mana negara lain di dunia.

“Adakah mereka akan mengutuk pembunuhan beramai-ramai Israel ini? Adakah mereka akan mengutuk kelakuan Israel ini? Mereka tahu mereka boleh menghalang Israel.

"Merekalah yang memberikan senjata dan wang serta sokongan kepada penyerang Israel ini," ujar Mustafa.

Mustafa menambah bahawa beliau merasakan infrastruktur awam sengaja disasarkan dalam serangan Israel.

Hampir 3,000 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Genting Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu. - Agensi