Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM3.1 juta

Hussein (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. Foto Sinar Harian/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Hussein (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. Foto Sinar Harian/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

GOMBAK - Polis menahan dua lelaki secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah serta merampas 93.82 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.1 juta di Batu Caves di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil maklumat daripada orang awam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gombak menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun pada jam 9.35 malam.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta jenis Nissan Almera menemui 65 bungkusan teh berisi dadah di dalam empat beg kanvas di tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan lanjut, kita menjumpai 25 bungkusan teh berisi dadah di dalam satu guni di but kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini, pada Rabu.

Hussein berkata, hasil soal siasat, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun di sebuah kondominium di kawasan itu.

"Kita turut menyita sebuah kereta Proton Perdana dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima serta wang tunai RM500," katanya.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket yang beroperasi sejak awal tahun ini adalah menjadikan premis seperti kediaman sebagai tempat menyimpan dadah.

"Bekalan dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran, sebelum diedarkan ke pasaran dalam dan luar negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek adalah negatif.

"Semakan rekod jenayah mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 187,648 pengguna.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!