KPDN rancang adakan Kempen Beli Barangan Malaysia Mega dua tahun sekali

Fuziah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu. - Foto Bernama
Fuziah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang untuk mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Mega sekali setiap dua tahun seperti mana program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, rancangan itu selari dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan KBBM Mega setaraf MAHA anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau yang lebih baik dari itu.

“Ini akan menambah kalendar aktiviti negara untuk menarik pelancong dan potensi pengimport barangan Malaysia datang ke negara kita. Semua ini bergantung kepada kelulusan kerajaan dan peruntukan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta penjelasan berhubung perkembangan perancangan mengadakan KBBM Mega sebagai usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana terutama dalam situasi perniagaan berdepan cabaran kemelesetan ekonomi.

Dalam pada itu, ujar Fuziah, program KBBM Mega dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2025 memandangkan MAHA akan dilaksanakan pada tahun 2024.

“Ini membolehkan KPDN melaksanakan dengan lebih grandeur, teratur dan berimpak tinggi serta memberi ruang masa untuk KPDN memasukkan KBBM Mega dalam Bajet 2025 dan mengatur strategi pengumpulan dana dan penajaan.

“Tahun 2023 dan 2024 akan digunakan untuk ‘menjual konsep’ KBBM Mega kepada semua pemain industri supaya lebih ramai pemain industri akan menyertai di samping melakukan perancangan rapi, promosi dalam dan luar negara.

Jelasnya, legasi KBBM akan diteruskan dengan mengembangkan kerjasama strategik melalui penyertaan rakan-rakan strategik daripada pelbagai sektor seperti sektor peruncitan, agensi media, platform atas talian (marketplace) animasi digital, fesyen, kraftangan, perkayuan selain penglibatan lebih ramai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Artikel Berkaitan:

“Kempen ini akan terus dilaksanakan dalam membantu para usahawan untuk mengembang dan memperluaskan lagi pasaran produk-produk keluaran mereka ke peringkat yang lebih meluas.

“Selain itu, KPDN akan terus membimbing dan memberi khidmat nasihat kepada pemain industri PMKS ini agar sentiasa menitik beratkan soal kualiti, penggunaan teknologi digital dalam mengurangkan kos, pembungkusan dan pemasaran ke atas produk-produk yang dihasilkan agar lebih berdaya saing berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan produk-produk luar negara,” jelasnya.