Projek loji WTE terbesar dibina di Jeram

Amirudin melihat model pelan pembinaan WTE semasa Majlis Pecah Tanah pembinaan WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.
Amirudin melihat model pelan pembinaan WTE semasa Majlis Pecah Tanah pembinaan WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tapak Pelupusan Sanitari Jeram yang dibangunkan Worldwide Holdings Berhad (WHB) bakal menjadi projek loji terbesar sisa kepada tenaga (WTE) di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd (Shanghai Electric) itu dilaksanakan di kawasan seluas 12 hektar di tapak pelupusan Sanitari Jeram.

Menurut beliau, projek itu secara keseluruhannya apabila siap nanti mampu memproses kira-kira 3,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari.

"Projek pembangunan loji WTE ini dijangka siap menjelang akhir tahun 2025 dan mula beroperasi selewat-lewatnya pada 2026," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah pembinaan WTE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini pada Selasa.

Amirudin berkata, sebanyak enam pihak berkuasa tempatan (PBT) bersetuju untuk menyerahkan sampah kepada WHB bagi proses WTE.

"Projek ini adalah permulaan kepada fasa satu dan fasa dua WTE yang telah pun kebenaran merancang (KM) daripada MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor).

"Bagaimanapun, terdapat sedikit kelewatan pelaksanaan projek WTE ini disebabkan pandamik Covid-19 serta dua atau tiga perkara yang telah diselaraskan semula di samping mengekalkan WHB untuk meneruskan projek berkenaan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, penjanaan tenaga sisa buangan melalui WTE penting kerana untuk menjadikan sisa pepejal sebagai salah satu sumber bahan api mampan selain menjadi sebahagian daripada pelaburan tenaga diperbaharui berpotensi di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Saiz penggunaan tapak pelupusan sampah tidak lagi sebagai mana pada hari ini kerana kalau kita lihat tapak pelupusan di Tanjung 12, Kuala Langat kita hanya bertahan tiga tahun, manakala Jeram mungkin 13 tahun akan penuh," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas beliau, sekiranya tiada sistem pengurusan sampah yang sistematik dibimbangi ia meningkatkan lagi pelupusan sisa pepejal.

"(WTE) Ini adalah teknologi terkini paling selamat dan sesuai untuk pengurusan sebuah kawasan sisa pepejal.

"Dari segi bantuan kerajaan negeri, kita akan melihat dari segi proses pengambilan tanah dan telah ada mesyuarat di peringkat WHB dan kita akan memastikan pengurusan sampah di negeri ini selamat dan juga tidak membebankan PBT," jelas beliau.

Ditanya mengenai bantahan penduduk di kawasan sekitar Batu Arang dan kawasan berhampiran mengenai projek terbabit, Amirudin berkata, perkara itu sudah dilaksanakan di beberapa negara maju lain di dunia.

"Saya percaya ia selamat kerana banyak negara antaranya China, Jepun dan negara lain sudah menukar kaedah pelupusan sisa pepejalnya kepada teknologi WTE," jelasnya.