15 jalan di Kuala Selangor ditutup sempena LTdL

Peta lokasi penutupan jalan di daerah Kuala Selangor yang akan ditutup sempena perlumbaan basikal LTdL pada Sabtu.
Peta lokasi penutupan jalan di daerah Kuala Selangor yang akan ditutup sempena perlumbaan basikal LTdL pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 15 jalan di daerah Kuala Selangor akan ditutup sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTdL) yang akan memasuki daerah ini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, penutupan itu membabitkan laluan di sempadan Klang-Kuala Selangor, Sungai Janggut, Sasaran Jeram, Pekan Jeram, Sasaran Sungai Buloh dan Assam Jawa.

Menurutnya, laluan lain turut terlibat ialah Pekan Kuala Selangor, Simpang ke Bukit Belimbing, Jalan Raja Musa, Pekan Bestari Jaya, Jalan Bukit Badong, Ijok, simpang menghala ke Kota Puteri, Desa Coalfield dan Bandar Sri Coalfield.

“Beberapa jalan di daerah Kuala Selangor ini akan ditutup pada jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang esok membabitkan laluan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, semua pengguna dinasihatkan mengelak menggunakan laluan yang dinyatakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau memberitahu, seramai 170 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menjaga keselamatan dan membantu bagi melancarkan aliran trafik sepanjang berlangsungnya kayuhan berprestij itu.

"Orang ramai yang menyaksikan kayuhan LTdL ini juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan petugas kami di lapangan,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan: