Zon makanan tradisi bakal dibangunkan sepanjang laluan Pedas-Linggi

Zon makanan tradisional di sepanjang laluan Pedas-Linggi di Rembau akan dibangunkan sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan di daerah itu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Nicole
Zon makanan tradisional di sepanjang laluan Pedas-Linggi di Rembau akan dibangunkan sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan di daerah itu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Nicole
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bakal membangunkan zon makanan tradisional negeri ini di sepanjang laluan Pedas-Linggi di Rembau sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan di daerah itu. Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kerajaan negeri sentiasa melakukan usaha berterusan untuk merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat dalam sektor pelancongan, termasuklah di daerah Rembau.

"Kita bercadang memberikan pengiktirafan menggunakan konsep 0 hingga 5 bintang daripada badan bertauliah atau chef bertauliah kepada mana-mana restoran yang menghidangkan makanan tradisi mengikut standard masakan dan kriteria yang ditetapkan. "Seperti gulai kuning, ia antara makanan tradisi popular yang termasuk dalam Sembilan Identiti negeri beradat ini kerana bahan-bahan utamanya berbeza dengan masakan negeri lain iaitu santan, cili padi kampung serta kunyit hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ujarnya, pengusaha restoran yang terlibat itu nanti akan dibantu daripada segi promosi yang kosnya telah diperuntukkan di bawah Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS). "Antara lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan adalah Pangkalan Nelayan Sungai Timun dengan mewujudkan juga pakej pelancongan aktiviti memancing udang sepit biru yang saya rasa agak menarik selain menaiki bot melihat kelip-kelip," katanya.

Beliau berkata, ia selaras dengan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Saiful Bahri Idris untuk mewujudkan destinasi makanan tradisi masakan lemak salai dijadikan Street Food atau zon makanan tradisi di sepanjang laluan tersebut. Dalam pada itu, beliau berkata, Rembau juga merupakan antara daerah yang mempunyai kepelbagaian hasil tani yang mampu menarik kedatangan pelancong.

"Antaranya adalah tanaman nanas di tanah berkeluasan 3.64 hektar yang diusahakan oleh Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan di Pedas. Ini seterusnya mampu menjadi tarikan dan menjana ekonomi penduduk Rembau," katanya.

Artikel Berkaitan: