Lebih 1.2 juta benih ikan air tawar dilepaskan di Sungai Pahang

Abdullah (tengah) melepaskan kira-kira 43,000 ekor benih ikan spesies lampam sungai, terbul dan sebarau di Sungai Kerau, Kampung Pian, Temerloh.
Abdullah (tengah) melepaskan kira-kira 43,000 ekor benih ikan spesies lampam sungai, terbul dan sebarau di Sungai Kerau, Kampung Pian, Temerloh.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang sudah melepaskan lebih 1.2 juta benih spesies ikan air tawar bermutu tinggi di perairan umum negeri itu sekali gus melepasi sasaran satu juta tahun ini.

Pengarah, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan ikan di perairan sungai negeri dilakukan secara berperingkat sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan bekalan ikan air tawar.

Menurutnya, selain itu ia berupaya menambah pendapatan nelayan darat dan menggalakkan lagi aktiviti memancing yang menjadi produk pelancongan.

"Bekalan benih ikan diperoleh daripada PPA (Pusat Pengembangan Akuakultur) Perlok, Jerantut dan PPABT (Pusat Pengembangan Akuakultur) Bukit Tinggi Bentong. Kita mahu memulihara populasi dan menambah stok ikan sungai.

"Kita yakin keadah ini (pelepasan ikan) dapat memberi manfaat yang banyak kepada nelayan darat khususnya bagi menjana ekonomi, meningkatkan pendapatan melalui hasil tangkapan dan keterjaminan makanan," katanya pada Selasa.

Sebelum itu, beliau melepaskan kira-kira 43,000 ekor benih ikan spesies Lampam Sungai, Terbul dan Sebarau di Sungai Kerau, Kampung Pian, Temerloh.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Rodzuan Zaaba.

Majlis ini mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) iaitu Penguasa Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pada tahun lalu, subsektor perikanan darat atau perikanan di perairan sungai menyumbang pendaratan 1,569 tan metrik bernilai kira-kira RM36.8 juta, yang kedua tertinggi di Malaysia.

Ujarnya, jumlah nilai komponen perikanan tangkapan, akuakultur dan perikanan darat di Pahang menyumbang sebanyak kira-kira 129,520 tan metrik.

"Ia dianggarkan bernilai RM1.145 bilion antara yang tertinggi di Pantai Timur," katanya.