Lapan individu dilarang hadir perhimpunan di Mahkamah Sibu esok

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak mengenal pasti lapan individu dilarang menyertai perhimpunan atau hadir di pekarangan Mahkamah Sibu esok bagi menyatakan sokongan terhadap mereka yang terlibat dalam perbicaraan kes rusuhan di Kanowit, Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perintah mahkamah di bawah Seksyen 98 Tatacara Jenayah telah dikeluarkan berkuat kuasa selama tujuh hari terhadap mereka yang terbabit.

"Ini adalah perintah sementara menghalang perhimpunan dalam kes-kes kacau ganggu dikeluarkan bermula esok hingga 23 Okt ini bagi menghalang kehadiran individu berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Lapan individu berkenaan ialah Mathew Mudai Umpi; Jonas Ling Lee King; Andrew Lau Chii Chuong; Alistair Lau Chii Kiat; Chua Yieng Hui; Lawrence Clement Ahsay; Napoleon Lawik dan Alim@Giovanni Adlim Mideh.

Beliau berkata, sekiranya kesemua individu berkenaan ingkar perintah yang dikeluarkan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya sekali.

"Jika keingkaran menyebabkan bahaya kepada nyawa atau mungkin menyebabkan rusuhan, mereka hendaklah dihukum dengan penjara yang boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Azman turut menasihati orang ramai untuk tidak hadir bagi menyatakan sokongan terhadap mereka yang terlibat dalam perbicaraan itu kerana dikhuatiri boleh mendatangkan suasana yang boleh mengancam keamanan dan ketenteraman awam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 624 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Oktober sehingga 3 November ini.

Menurutnya, PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 orang anggota polis akan mengundi di keseluruhan 15 buah pusat mengundi melalui 46 tempat saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November depan manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!