PRN: Sokongan terhadap BN dijangka terus menurun

Md Shukri
Md Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya di Selangor dijangka akan terus menunjukkan penurunan selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib berkata, itu adalah pengorbanan yang BN lakukan bagi menjamin kelancaran dan kestabilan pentadbiran Pusat.

Menurutnya, langkah sama turut dilakukan ketika bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) selepas kejatuhan PH akibat Langkah Sheraton pada 2020.

"BN menjadi mangsa keadaan dan korbankan parti untuk kepentingan kerajaan pusat.

"Dahulu BN berkorban dengan PN dan sekarang dengan PH pula untuk tubuhkan kerajaan. Situasi itu memaksa BN berkorban, jadi hargai lah pengorbanan BN," katanya pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, pergolakan dalaman UMNO turut memberikan keuntungan kepada PH dan PN yang memperoleh serpihan undi daripada pengundi BN.

"Kalau lihat pada PRU15 lalu, konflik calon berpengaruh tidak dipertandingkan seperti Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) dan Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) turut mempengaruhi undi terhadap BN.

"Ketika BN bergolak, yang mendapat untung ialah PH dan PN tetapi dalam konteks PH, kita mahu melihat adakah gabungan PH-BN ini akan menguntungkan BN?, katanya.

Justeru katanya, BN perlu menerangkan secara jelas hala tuju parti selepas ini sama ada untuk terus kekal bersama gabungan PH-BN bagi PRU akan datang atau kembali bergerak solo.

"Bagi mendapatkan keyakinan akar umbi dan pengundi, BN perlu memberikan penjelasan kukuh hala tuju parti tersebut bagi mengembalikan sokongan akar umbi dan pengundi.

"BN sukar muncul kembali sebagai parti gergasi sebaliknya akan menjadi parti tumpangan dan PRN bakal menentukan survival parti tersebut," katanya.

Katanya lagi, PRN juga bakal menyaksikan medan referendum atau protes dalam kalangan penyokong BN yang dijangka menolak parti berkenaan selepas kerjasama bersama PH.

"PH perlu bantu calon BN untuk memenangkan kerusi yang dipertandingkan. PH patut beri kawasan yang selamat kepada BN supaya ada wakil parti itu dalam Kerajaan Perpaduan di Selangor.

"Saya lihat hanya Hulu Bernam kerusi selamat BN dan wajar ditandingi UMNO kerana penyandangnya, Datuk Dr Rosni Sohar telah berjaya mempertahankan kerusi itu selama dua penggal.

"Bagaimanapun kita perlu lihat juga faktor calon dan jika Rosni tidak dicalonkan berkemungkinan bakal mempengaruhi undi rakyat," katanya.