Selangor naikkan bantuan Baucar Jom Shopping kepada RM200

Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: V Papparaidu)
Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: V Papparaidu)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah menaikkan bantuan RM100 kepada RM200 membabitkan Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping sejak awal tahun lalu.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, bantuan kepada golongan B40 mengikut musim perayaan itu dinaikkan bertepatan dengan kos sara hidup yang menekan ketika ini.

Menurutnya, had pendapatan isu rumah yang layak memohon juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan sebagai usaha membantu rakyat memerlukan.

"Penerima yang layak haruslah pengundi berdaftar di DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor dan hanya seorang penerima sahaja bagi setiap keluarga.

"Sementara penerima di bawah Program Bingkas dan SMUE (Skim Mesra Usia Emas) adalah tidak layak untuk menerima bantuan Perayaan Jom Shopping ini, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pembelian barangan pula boleh dibeli di pasaraya terpilih antaranya Giant, Econsave, TF Value-Mart, NSK Trading, Mydin, Best Fresh Mart, Lotus, Sri Ternak Food Mart, CLC dan Grand Union bermula 13 Oktober hingga 11 November 2023.

"Penerima yang layak hanya dibenarkan membeli barangan keperluan harian sahaja bertujuan meringankan beban dalam membuat persiapan sambutan perayaan Deepavali.

"Pembelian rokok, minuman keras dan tambah nilai prabayar adalah tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri akan menyerahkan sebanyak 22,000 baucar yang bernilai RM4. 4 juta sempena perayaan Deepavali tahun ini.