500 peneroka tanah pertanian tuntut kerajaan Selangor bayar pampasan

Logarajen dan Othman
Logarajen dan Othman
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 500 peneroka tanah pertanian di Kampung Seri Makmur di sini menuntut kerajaan negeri membayar pampasan setimpal sekiranya mereka terpaksa mengosongkan tanah yang diusahakan sejak lebih 50 tahun lalu.

Seorang peneroka, R Logarajen, 62, berkata, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) bertanggungjawab bagi membangunkan projek takungan air, Hybrid River Off Storage (HORAS) perlu membayar ganti rugi terhadap segala kemusnahan dan kerosakan tanaman penduduk.

Menurutnya, rata-rata peneroka hanya bergantung harap kepada sumber pendapatan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.

"Saya sendiri telah mengusahakan tanaman kelapa sawit di sini lebih 30 tahun lalu dan bimbang jika kerajaan negeri tidak memberi pampasan sewajarnya.

"Saya berharap pampasan diberikan oleh kerajaan negeri setimpal dengan apa yang telah kami usahakan selama ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Logarajen berkata, tuntutan pampasan itu dibuat bagi memastikan peneroka di kawasan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya difahamkan ada peneroka masih belum menerima sebarang pampasan walaupun tanah diusahakan sudah diratakan oleh pihak kontraktor.

"Bagaimana mereka hendak meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi pendapatan keluarga bergantung kepada hasil pertanian," jelasnya yang mengusahakan tanaman kelapa sawit seluas lapan hektar.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peneroka, Othman Yusop, 58, berkata, dia mengusahakan tanaman kelapa sawit seluas dua hektar sejak 20 tahun lalu.

Justeru, katanya, kerajaan negeri sewajarnya memberikan pampasan bagi mengurangkan beban kewangan peneroka terlibat terutama dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi.

"Saya difahamkan sebanyak kawasan seluas 5.6 hektar telah dikosongkan pihak kontraktor pada peringkat pertama dan sebanyak 40 hektar lagi pada peringkat kedua.

"Setakat ini, saya tidak dimaklumkan tentang jumlah sebenar ganti rugi tersebut dan berharap ada keputusan menang-menang kedua-dua belah pihak," ujarnya.

Peneroka, Abu Hassan Sani, 60, pula merayu kerajaan negeri menyelesaikan segera isu ditimbulkan peneroka itu yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Kalau benar ada pampasan, kami berharap biarlah bantuan ini sepadan dengan keringat kami yang lama mengusahakan tanaman tersebut," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kira-kira 1,680 hektar tanah pertanian di kawasan itu telah diusahakan penduduk sejak 50 tahun lalu.

Nurul Syazwani (kanan) berbincang bersama peneroka di sebuah kedai makan selepas tidak dibenarkan masuk ke dalam Balai MPKK Raja Musa pada Rabu.
Nurul Syazwani (kanan) berbincang bersama peneroka di sebuah kedai makan selepas tidak dibenarkan masuk ke dalam Balai MPKK Raja Musa pada Rabu.

Beliau memberitahu, tanah itu dahulunya terbiar dan pernah dijadikan sebagai Taman Agrotech yang dibangunkan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk setempat.

"Sekarang ini tanah ini diserahkan kepada KHSB dan diwarta sebagai projek HORAS, sudah pasti ada aktiviti pengorekan dan perlombongan pasir di kawasan tersebut.

"Saya difahamkan penduduk diarahkan keluar daripada tanah yang mereka usahakan untuk tujuan pertanian dan saya mewakili penduduk merayu kerajaan negeri agar mereka ini diberi pampasan," jelas beliau.

Sehubungan itu katanya, masalah itu ingin dibangkitkan beliau semasa perjumpaan peneroka bersama KHSB di Balai Raya MPKK Raja Musa pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, hasrat menyuarakan masalah peneroka itu tidak kesampaian apabila Lembaga Pengarah KHSB, Mohd Yahya Mat Sahri meminta beliau keluar dan tidak terlibat dalam sesi pertemuan di balai raya tersebut.

"Walaupun saya sendiri tahu perjumpaan itu dianjurkan kerajaan negeri, tetapi bagi saya kita kena matang dalam politik.

"Letak tepi dulu politik kerana apa yang penting sekarang ini masalah rakyat kita selesaikan bersama," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yahya berkata, KHSB sememangnya tidak mengundang Nurul Syazwani dalam perjumpaan bersama peneroka terlibat.

"KHSB tidak jemput ADUN, kenapa beliau (Nurul Syazwani) hendak datang?.

"Beliau tiada dalam senarai jemputan kerana kita hanya menjemput wakil peneroka, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, juru ukur, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Unit Undang-Undang KHSB," jelas beliau.

Menurut Mohd Yahya, perjumpaan antara agensi dan peneroka tanah itu dilakukan adalah untuk berbincang bagi mengenal pasti senarai nama peneroka terlibat.

Tambah beliau, senarai itu penting bagi memastikan siapa terlibat dan berapa luas kawasan yang telah diterokai dan ia mestilah diukur oleh juru ukur terlebih dahulu bagi mengelakkan pertindihan antara satu sama lain.

"Proses ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum mereka menuntut sebarang pampasan dan sebagainya," katanya