Belanjawan 2024 pemangkin pertumbuhan pekerjaan - PERKESO

Pembabitan wanita dalam pasaran buruh akan ditingkatkan selari dengan sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncanakan dalam Kerangka Ekonomi Madani. - Gambar hiasan
Pembabitan wanita dalam pasaran buruh akan ditingkatkan selari dengan sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncanakan dalam Kerangka Ekonomi Madani. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Enam inisiatif dalam Belanjawan 2024 untuk dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencerminkan tekad kerajaan untuk memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu sekali gus merungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, inisiatif Bina Kerjaya PERKESO, Sokongan Pekerjaan di sektor swasta bagi bekas banduan, orang kelainan upaya (OKU), pesara dan integrasi kumpulan sasaran tersebut ke dalam sektor awam. Menurutnya, rangkaian inisiatif itu juga selari dengan hala tuju digariskan kerajaan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyasarkan pewujudan 1.34 juta peluang pekerjaan.

“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal bagi melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu. “Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaan hijau.

“Justeru, galakan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia dengan menyediakan insentif menerusi suntikan fiskal dalam Belanjawan 2024 bakal menjadi pemangkin ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran buruh di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, menyaksikan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200 juta kepada PERKESO. Ini bagi menerajui pelaksanaan inisiatif merangkumi kepentingan memperkasa jaringan perlindungan sosial dan merancakkan pasaran buruh.

Berdasarkan semakan terhadap portal MYFutureJobs, Dr Mohammed Azman berkata, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh antara Januari hingga 6 Oktober lalu adalah seramai 198,751 orang. “PERKESO juga akan terus berusaha mempertingkat dan memperkasakan lagi portal perkhidmatan pekerjaan, MYFutureJobs ini untuk manfaat semua lapisan masyarakat bagi mendapat akses pekerjaan lebih mudah menerusi perkhidmatan padanan pekerjaan dan sokongan pekerjaan oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

“Berbekalkan inisiatif Belanjawan 2024 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, ia akan dapat meningkatkan lagi pembabitan wanita dalam pasaran buruh. Ini selari dengan sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncana dalam Kerangka Ekonomi Madani,” kata beliau.

Menyentuh komponen memperkasa jaringan perlindungan sosial, Dr Mohammed Azman berkata, penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan dan individu bekerja sendiri, khususnya bagi penggiat industri gig.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap kepada semua penyedia platform gig menyambut baik dan memberi perhatian kepada saranan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia dalam meningkatkan perlindungan keselamatan sosial dengan mengambil inisiatif menanggung baki 10 peratus caruman bagi penggiat gig demi kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, percaturan kerajaan untuk meningkatkan siling gaji diinsuranskan ke paras RM6,000 berbanding RM5,000 adalah tepat kerana peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai kepada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan tanggungan mereka sekali gus melindungi kebajikan rakyat. “Dengan lonjakan peruntukan sebanyak 150 peratus kepada RM50 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi,” tambah beliau.