Malaysia perlu tarik diri sertai Pesta Buku Frankfurt

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt pada tahun ini untuk menunjukkan protes kepada penganjur yang memberikan sokongan kepada Israel. Bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia berikutan tindakan penganjur yang membatalkan sebuah majlis anugerah seorang penulis wanita Palestin dan kenyataan yang dikeluarkan jelas menunjukkan sokongannya kepada Israel.

“Pesta ini sepatutnya neutral dan tidak boleh mengambil sikap macam sekarang yang secara jelasnya menyebelahi Israel. Dasar luar Malaysia jelas sejak dari dulu yang kita bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin. Baru-baru ini pun Parlimen telah sebulat suara menyokong kenyataan kerajaan untuk terus bersama dengan perjuangan Palestin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tindakan penganjur Pesta Buku Frankfurt yang menyatakan sokongan terbuka dan bersolidariti terhadap Israel mengundang reaksi daripada persatuan penerbit buku di beberapa negara. Kenyataan Pengarah Frankfurter Buchmesse, Juergen Boos yang mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kelihatan terutamanya di pesta buku nyata mengundang rasa kurang senang banyak pihak.

Selain itu, seorang penulis wanita Palestin, Adania Shibli yang sepatutnya menerima anugerah sastera bagi novelnya yang bertajuk Minor Detail iaitu satu karya terjemahan Jerman telah dibatalkan kerana perang Israel - Palestin.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu berkata, pesta buku tersebut adalah acara tahunan terbesar di dunia yang diadakan pada Oktober dan Malaysia menyertainya hampir setiap tahun.

“Biasanya kementerian yang bertanggungjawab ialah KPM dan diketuai Majlis Buku Kebangsaan (MBKM).

“Saya difahamkan pada tahun ini memang Malaysia bersedia menghadiri dan mengambil bahagian macam biasa. Kali ini diketuai salah seorang pengarah MBKM.

“Jadi, Malaysia wajar mengambil pendekatan seperti yang dilakukan beberapa penerbit negara-negara Arab yang menyatakan boikot mereka terhadap pesta ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: