RM10 juta untuk MyCC diguna perangi amalan kartel, pakatan harga

Peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024, akan digunakan untuk memastikan amalan kartel dan pakatan harga yang memberikan impak negatif kepada rakyat dan negara, dapat diatasi dan ditangani dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan
Peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024, akan digunakan untuk memastikan amalan kartel dan pakatan harga yang memberikan impak negatif kepada rakyat dan negara, dapat diatasi dan ditangani dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024, akan digunakan untuk memastikan amalan kartel dan pakatan harga yang memberikan impak negatif kepada rakyat dan negara, dapat diatasi dan ditangani dengan lebih berkesan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya komited untuk bersama menggerakkan agenda subsidi bersasar, khususnya dalam konteks mengurangkan ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penguatkuasaan.

"KPDN akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna dilindungi dan pada masa yang sama sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara berkembang maju,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui di Kuala Terengganu, Amrizan berkata, KPDN menerusi MyCC akan menambah bilangan pegawai penyiasat dalam menangani isu tersebut, dan memastikan industri atau syarikat yang berkaitan tidak berpakat menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

"Setakat ini, kita ada seramai 17 pegawai penyiasat di MyCC dan ia perlu ditambah lagi untuk membantu kerajaan memantau isu berkaitan dengan kartel, seperti penipuan dalam bidaan, ketirisan projek-projek yang ditender dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan program Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan sejumlah RM10 juta sebagai tumpuan kerajaan untuk menghapuskan amalan parasit itu, melalui langkah kawalan ketat dan menyeluruh oleh KPDN, di samping memperkukuh kapasiti dan fungsi MyCC.

Amrizan berkata, bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur, walaupun tidak menafikan hak peniaga untuk mengaut keuntungan yang munasabah, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip Madani.

Dalam perkembangan lain Amrizan dalam kenyataan berkata, Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar pada Jumaat turut menyentuh mengenai usaha memperhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui peruntukan sebanyak RM12 juta yang bertujuan memastikan produk tempatan mendapat tempat di hati rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah akan membolehkan golongan sasar daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

"Kebajikan penduduk luar bandar akan terus diberi perhatian dengan memastikan ketersediaan bekalan barang keperluan asas menerusi Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming.

"Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi membiayai program sedia ada termasuk peluasan ke kawasan baharu antaranya di Zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerabai, Mukah, Sarawak,” katanya.


Kerajaan dijangka jana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada 2024 - Deloitte Malaysia

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada 2024 berikutan rancangannya untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus serta meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke dalam Belanjawan 2024.

Namun begitu, Ketua Bahagian Percukaian Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek berkata, kesan segera kepada perniagaan ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan cukai perkhidmatan akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada akhirnya.

"Seperti yang kita sedia maklum, rejim cukai jualan dan perkhidmatan mempunyai kesan ‘cukai ke atas cukai’ dan akan menyebabkan harga lebih tinggi.

"Bagi menampungnya, kerajaan diharap akan memperluaskan pengecualian perniagaan ke perniagaan yang kini terpakai kepada perkhidmatan bercukai tertentu yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan lewat Jumaat sebagai maklum balas kepada Belanjawan 2024.

Sementara itu, Ketua Percukaian PwC Malaysia, Jagdev Singh berpandangan bahawa kenaikan cukai perkhidmatan nampaknya satu langkah stopgap sehingga kerajaan bersedia untuk melaksanakan cukai penggunaan secara meluas dalam bentuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Walaupun strategi untuk mengekalkan kadar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan makanan dan minuman serta telekomunikasi adalah berhemat kerana ia digunakan oleh orang ramai, beberapa perkhidmatan lain yang digunakan oleh perniagaan akan menyebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan.

"Selain itu, meluaskan skop cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatan logistik akan mempunyai kesan melata ke atas kos, dan perniagaan akan berusaha untuk mengenakannya kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” kata beliau.

Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen pula berkata, negara mungkin menyaksikan kenaikan caj atau yuran daripada penerima perkhidmatan yang diberikan berikutan peningkatan dua peratus itu.

"Tarikh kuat kuasa kenaikan kadar cukai perkhidmatan tidak disebut dalam pengumuman belanjawan dan ia dijangka diumumkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Kewangan (No. 2) 2023 atau dalam perundangan subsidiari,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!