Belanjawan 2024 kukuhkan peranan KPKM

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2024 Malaysia Madani diyakini mampu mengukuhkan peranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mendepani cabaran isu-isu semasa melibatkan sektor pertanian dan agromakanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu bagi memacu agenda pemodenan dan kelestarian aktiviti pertanian termasuk mengukuhkan infrastruktur pembangunan secara holistik terhadap rantaian nilai agromakanan.

“Secara keseluruhannya, KPKM telah diperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM5.39 pada tahun 2023.

“Ia sekali gus membuktikan keutamaan kerajaan memacu sektor pertanian untuk terus mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengulas, inisiatif Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, ia menepati agenda memperkukuh keterjaminan negara selaras dengan objektif dan sasaran di bawahDasar Agromakanan Negara 2021-2030.

“KPKM akan melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2024 secara cekap, berhemat serta efisien bagi memastikan golongan sasar yang telah dikenal pasti mendapat manfaat segera daripada pengumuman ini,” ujarnya.

Ulasnya, antara inisiatif tersebut menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik, memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang, meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma dan mengekalkan subsidi diesel kepada golongan nelayan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta.

“RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana.

“RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi bagi memberi perlindungan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana,” jelasnya.