KDNK catat pertumbuhan sederhana

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara keseluruhan negara mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus.

"Sementelahan ini membuktikan negara di landasan yang tepat, namun kita tidak harus mendabik dada dan terlalu cepat berpuas hati," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, menjengah usia hampir setahun pimpinan Kerajaan Perpaduan sedaya upaya menjelmakan semula kekuatan watan. Ekonomi domestik Malaysia terus kukuh dengan kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos iaitu terendah hampir menyamai 3.3 peratus sebelum Covid-19.

"Kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi, tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara beransur-ansur setiap bulan," ujarnya.

Beliau berkata, kadar inflasi negara sehingga Ogos lalu hanya dua peratus antara terendah di rantau ini malah lebih baik ketimbang negara ekonomi maju.

Tambah Anwar, Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing.

"Bagi separuh pertama 2023, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai 132.6 bilion ringgit iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pencapaian ini merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51,000 peluang pekerjaan.

"Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong yang menyaksikan ketibaan hampir 13 juta pelancong asing setakat Ogos 2023 iaitu lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

"Indikator-indikator inilah yang sebenarnya merupakan kekuatan hakiki negara.

"Insya-ALLAH, dengan itu prestasi ekonomi akan terus pulih meski kita menghadapi tantangan ringgit," katanya.