Permintaan domestik diunjur berkembang 5.3 peratus tahun depan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PERMINTAAN domestik diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada 2024, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Laporan itu menjelaskan perbelanjaan sektor swasta akan terus menerajui aktiviti ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus dan menyumbang 4.3 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam dianggarkan meningkat sebanyak 4.1 peratus dan menyumbang 0.7 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK, tambahnya.

Menurut laporan itu, penggunaan swasta diunjurkan meningkat sebanyak 5.7 peratus, susulan pasaran buruh yang terus bertambah baik serta aktiviti ekonomi dan sosial pada peringkat domestik yang lebih kukuh, di samping pelaksanaan inisiatif kerajaan termasuk meneruskan pindahan tunai kepada kumpulan sasar yang dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah.

Pelaburan swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus seiring dengan sentimen perniagaan yang lebih menggalakkan dan persekitaran luar yang semakin baik, jelas laporan itu.

Oleh itu, sektor swasta dijangka menggiatkan usaha untuk meningkatkan lagi perbelanjaan modal dalam ekonomi, tambahnya.

"Di samping itu, pelaburan swasta akan terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek bagi pelaburan yang diluluskan oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) terutama dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E), kelengkapan pengangkutan serta maklumat dan komunikasi,” menurut laporan itu.

Sementara itu, pelaburan awam diunjurkan meningkat sebanyak 8.3 peratus pada 2024 disokong oleh perbelanjaan pembangunan (DE) kerajaan Persekutuan serta perbelanjaan syarikat awam bukan kewangan yang lebih tinggi, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan DE akan disalurkan terutama kepada sektor ekonomi dan sosial sejajar dengan objektif Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan bahawa sektor perkhidmatan dijangka meningkat sebanyak 5.6 peratus pada 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor.

Di samping itu, aktiviti berkaitan pelancongan yang rancak serta perbelanjaan pengguna yang berterusan dijangka terus memacu pertumbuhan sektor itu, tambahnya.

Subsektor perdagangan borong dan runcit akan kekal sebagai penyumbang utama sektor perkhidmatan dengan jangkaan peningkatan sebanyak 5.6 peratus.

Ini akan dipacu oleh pengembangan dalam segmen perdagangan runcit melalui penggunaan automasi yang lebih meluas, e-dagang dan pengalaman beli-belah secara pelbagai saluran yang membolehkan interaksi fizikal dan dalam talian yang lebih lancar, jelas laporan itu.

Tambahnya, sektor pembuatan diunjurkan berkembang sebanyak 4.2 peratus pada 2024 didorong oleh prestasi lebih baik dalam industri berorientasikan eksport dan domestik.

Laporan tersebut juga menjelaskan industri berorientasikan eksport dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan luar dengan segmen E&E diunjurkan melonjak terutama didorong oleh produk memori.

Di samping itu, industri berorientasikan domestik akan terus meningkat disokong oleh segmen berkaitan pengangkutan dan pembinaan, seiring dengan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan yang lebih baik, menurut laporan itu.

Sektor pertanian dijangkakan meningkat sebanyak 1.2 peratus pada 2024 dipacu oleh pengembangan dalam kebanyakan subsektor terutama kelapa sawit, pertanian lain dan ternakan, tambahnya.

Sektor perlombongan pula diunjurkan pulih sebanyak 2.7 peratus pada 2024 dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan dalam subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat. - Bernama