Isu bekalan beras: Kedah dijadikan kambing hitam - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa negeri itu dijadikan kambing hitam untuk menutup kegagalan kerajaan Persekutuan apabila berlaku ketidakcukupan stok beras tempatan dalam pasaran.

Beliau mendakwa, pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dengan skandal beras adalah tidak benar.

Menurutnya, adalah tidak masuk akal apabila mengaitkan kes lama yang berlaku pada tahun 2016 yang kononnya dibongkar pada Isnin dengan ketiadaan beras pada masa kini.

“Mereka seolah mencari kambing hitam untuk diletakkan kelemahan kepada kerajaan negeri. Oleh kerana kebanyakan padi ditanam di Kedah, seolah Kedah gagal mengawal selia padi dan beras, sedangkan ia bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pada Isnin, SPRM membongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makanan ruji negara itu.

Syarikat terbabit didakwa mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun, sejak tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Sanusi berkata, kenyataan SPRM tidak dilaporkan secara mendalam dan seolah ‘tergantung’ tanpa memberi penjelasan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Diberitakan skandal itu libatkan anak syarikat kerajaan negeri yang gagal bekalkan beras tempatan dengan kontrak bernilai RM100 juta. Laporan tergantung seolah berlaku kelmarin, sedangkan kes 2016.

“Atas kehendak siapa? Spekulasi dibina seolah ketiadaan beras tempatan puncanya Kedah (Sanusi) disorok. Spekulasi itu cuba dibina oleh netizen atau 'cyber trooper' untuk memburukkan kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau memberi tempoh 24 jam untuk pihak terlibat menarik balik kenyataan yang memberi gambaran Kedah terlibat dengan skandal beras tempatan dan sekiranya gagal, tindakan perundangan akan diambil.

“Kita akan arahkan pasukan peguam buru semua pemilik akaun terlibat untuk tindakan mahkamah kerana membuat laporan tergantung menyebabkan ia beri gambaran salah terhadap Kedah agar jadi pengajaran kepada semua.

“Kalau nak sebarkan maklumat mestilah lengkap serta berdasarkan prinsip keadilan kepada pihak terlibat.

“Individu yang menyerbu kilang beras pada Selasa didapati tidak memakai topi keselamatan ketika serbuan dan mereka juga akan diburu untuk diambil tindakan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sanusi turut mendedahkan pada 2 Mac 2016, satu perjanjian ‘Contract Manufacturing And Supply Agreement’ ditandatangani antara Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) dengan syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd.

Projek tersebut melibatkan pemasaran beras keluaran KAHB dalam pek berkapasiti 5kg dan 10kg dengan nilai RM102,480,000 (28,800 metrik tan).

“Perjanjian ini adalah kontrak perniagaan beras di mana Prolink membekalkan beras kepada KAHB. Sementara KAHB menjualkannya kepada Syarikat Central Regional Distribution Center Sdn Bhd.

“KAHB sebagai orang tengah dan keuntungan RM1 sekampit sahaja. Tempoh pula setahun bukan berlarutan sehingga sekarang,” katanya.

Tambah beliau, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara 2019, dimaklumkan semua urus niaga berkenaan dihentikan.

“Atas nasihat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara 2019, laporan polis dibuat oleh Kedah Agro, SPRM dan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras (MOA) juga membuat siasatan dan memanggil pegawai terlibat untuk dirakamkan kenyataan.

“Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada 2019, telah dimaklumkan siasatan SPRM selesai dan fail kes dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya. Pada 11 Oktober 2021, Kedah Agro menerima makluman isu audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 berstatus selesai,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi berkata, adalah tidak wajar membangkitkan semula kes lama dan dikaitkan dengan isu semasa.

“Kerja SPRM menyiasat bukan lontarkan berita untuk jadi spekulasi atau memang itu kerja SPRM sekarang? Perjanjian RM100 juta itu tak berlaku, hanya setakat RM54 juta dan terhenti sehingga 2017.

“Takkan lah kerana kes ini beras tempatan tiada dalam tahun 2023? Masuk akal kah? Kalau nak sebar berita bagi masuk akal. Jangan kantoi nanti malu,” katanya.

Sanusi berharap isu pengilang menyorokkan beras tempatan dapat diselesaikan sebaiknya oleh kerajaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tidak diberikan kuasa dalam pengedaran beras.

“Saya dah lama cakap isu ini ada kaitan kartel tetapi mereka nafi. Kalau kerajaan Persekutuan sekarang ini tak mampu untuk jadi kerajaan dan bertindak, hampa letak jawatan ganti lain. Kalau tak boleh jadi menteri, berhentilah.

“Kita akan kaji apa motif SPRM dedah perkara ini sebab apa yang dibongkar itu kes 2016 dah mereput. Semua selesai, apa lagi kes? Kenapa sekarang baru dedah kes ini, untuk apa disimpan, nak tutup kelemahan siapa?” soalnya.