Orang tempatan dipercayai dalang 'scammer'

Ramli ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Karate Ketua Polis Negara di Arena Indoor, di sini pada Khamis.
Ramli ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Karate Ketua Polis Negara di Arena Indoor, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Orang tempatan mendalangi aktiviti merekrut rakyat negara ini untuk dihantar bekerja dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosup berkata, pihak terbabit dipercayai bertanggungjawab dan bekerjasama dengan rakan mereka dari luar negara bagi tujuan itu.

Menurutnya, dalang terbabit membuat pelbagai janji termasuk tawaran lumayan bagi menjerat mangsa untuk menerima tawaran tersebut.

"Tentu sekali orang tempatan (Malaysia) dalangnya. Kalau ejen daripada Malaysia, sudah tentu ada jaringan ( mempunyai hubungan) daripada sana (luar negara) untuk mengatur tempat dan sebagainya.

"Ini hanya (berdasarkan) teori dahulu tetapi coraknya (orang tempatan bekerja dengan ejen luar negara). Kita masih tidak mendapat maklumat sepenuhnya dalam kejadian yang terbaru ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Karate Ketua Polis Negara di Arena Indoor, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihak polis sedang menunggu mangsa yang diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam di Peru bagi merekodkan kenyataan mereka.

"Selepas perkara itu dilakukan (keterangan dibuat), kami akan dapat mengumpul lebih banyak maklumat mengenai modus operandi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Ramli meminta masyarakat tidak terpengaruh atau melayan sebenar panggil yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Beliau mendedahkan, tiada istilah pukau melalui panggilan telefon dalam kes individu yang menjadi mangsa penipuan.

"Bukan semua perkara boleh diselesaikan melalui panggilan telefon sahaja, jadi tidak salah sekiranya menyemak kesahihannya terlebih dahulu.

"Walaupun kita telah dibayar gaji untuk menyiasat dan sebagainya tapi kita rasa kecewa apabila orang tampil membuat laporan yang diri mereka ditipu dan tipu itu mencecah jutaan ringgit.

"Jadi, kita hendak supaya masyarakat sentiasa sedar bahawa tiada jalan mudah untuk menjadi kaya atau memperoleh keuntungan yang melampaui dan sebagainya," ujarnya.