Lebih 20,000 akaun pengguna SADA di Kulim terjejas

Tangki statik ditempatkan di lokasi terjejas di Kulim sebagai kelangsungan bekalan air terawal kepada pengguna. - Foto ihsan SADA
Tangki statik ditempatkan di lokasi terjejas di Kulim sebagai kelangsungan bekalan air terawal kepada pengguna. - Foto ihsan SADA
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 20,000 akaun pengguna di daerah Kulim mengalami gangguan bekalan air disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas serta-merta berikutan kadar kekeruhan air mentah di sungai yang tinggi.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 50 kawasan perumahan dan kampung terjejas termasuk institusi pengajian.

Menurut kenyataan itu, LRA Sungai Ular yang berkapasiti 27.27 juta liter sehari (MLD) terpaksa dihenti tugas apabila pemantauan kadar kekeruhan air mentah yang dilakukan setiap dua jam oleh SADA menunjukkan trend meningkat bermula Selasa sehingga mencecah paras 13,000 nephelometric turbidity unit (NTU) berbanding 1,000 NTU (paras maksimum air mentah boleh dirawat).

"Rentetan itu, lebih daripada 50 buah kawasan di daerah Kulim mengalami gangguan bekalan antaranya di Kolej Vokasional, Kolej Mara, Taman Kempas Indah, Pekan Kulim, Kulim Avenue, Kem Pasukan Gerakan Am dan lain-lain," katanya.

Kenyataan itu berkata, SADA sudah memohon penjelasan mengenai perkara itu kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang merupakan entiti bertanggungjawab mengawal selia hal berkaitan sumber air.

SADA menempatkan tangki statik di lokasi dikenal pasti sebagai langkah mengatasi kawasan terjejas bekalan air di Kulim. - Foto ihsan SADA
SADA menempatkan tangki statik di lokasi dikenal pasti sebagai langkah mengatasi kawasan terjejas bekalan air di Kulim. - Foto ihsan SADA

Katanya, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air secara berjadual dan penempatan tangki statik sedang dilaksanakan pada masa ini.

"Ia selaras kehendak peruntukan undang-undang bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu SADA bertanggungjawab memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, SADA turut memantau kadar kekeruhan air mentah dari masa ke semasa bagi membolehkan loji kembali beroperasi sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, bagi tindakan penyelesaian jangka masa panjang, pihaknya akan membina sebuah LRA berskala besar iaitu LRA Sungai Karangan yang mana peruntukan bagi projek itu sudah diluluskan melalui pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Disebabkan itu, sebahagian liputan kawasan yang kini memperoleh bekalan air terawat daripada LRA Sungai Ular akan diambil alih oleh LRA baharu berkenaan apabila ia siap dilaksanakan.

"SADA memahami kesukaran yang dihadapi pengguna akibat gangguan bekalan air ini dan sedang giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera," katanya.