Naik taraf LRA Jenun Baru beri manfaat 49,000 akaun pengguna

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PENDANG - Sejumlah 49,000 akaun pengguna air di daerah ini dan Yan serta sebahagian kawasan Gurun akan menerima manfaat selepas projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di sini dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setelah kerja menaik taraf LRA bernilai RM156.85 juta itu siap sepenuhnya nanti ia berkeupayaan menjadikan kapasiti pengeluaran bekalan air daripada 55 juta liter sehari (MLD) kepada 110 MLD.

"Dengan siapnya LRA ini nanti, maka bekalan air terawat yang berkualiti, bersih dan cukup (dibekalkan) khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Pendang, Yan dan sebahagian Mukim Gurun (dalam daerah Kuala Muda) iaitu kawasan perindustrian Gurun hingga 2040," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai projek menaik taraf LRA itu pada Khamis.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, skop kontrak projek berkenan ialah menaik taraf LRA Jenun Baru, pembinaan tangki air di Bukit Jambul di Pendang manakala daerah Yan melibatkan pembinaan tangki air menara di Sedaka, rumah pam di Kampung Ruat dan tangki air di Tanjung Jaga.

Beliau berkata, selain itu, terdapat juga kerja pemasangan sistem paip yang menghubungkan LRA Jenun Baru dengan tangki air baharu sepanjang hampir 46 kilometer.

Setakat 12 Julai lepas, kemajuan semasa fizikal projek menaik taraf LRA Jenun Baru sudah mencapai 37.4 peratus.

Saifuddin Nasution turut melawat tapak projek menaik taraf LRA Jenun Baru selepas sesi taklimat berkenaan. - Bernama