Tangki mendapan tambahan LRA Jeneri elak gangguan bekalan air

Pembinaan tangki mendapan tambahan di Loji Rawatan Air Jeneri siap sepenuhnya pada 27 Mac lalu.
Pembinaan tangki mendapan tambahan di Loji Rawatan Air Jeneri siap sepenuhnya pada 27 Mac lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembinaan tangki mendapan tambahan di Loji Rawatan Air (LRA) Jeneri siap sepenuhnya pada 27 Mac lalu untuk manfaat 7,000 akaun pengguna di daerah Sik dan Pendang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman (SADA), Radzuan Osman berkata, tangki mendapan tambahan tersebut berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan.

Menurutnya, ia bagi memastikan pengurangan operasi LRA akibat kerja-kerja cucian tangki mendapan dapat diminimumkan.

“Projek tersebut dimulakan pada 1 Julai 2022 dan dijangka siap pada 30 Jun namun ia berjaya disiapkan lebih awal.

“Sebelum ini penduduk di kawasan terjejas akan mengalami pengurangan operasi LRA Jeneri, antaranya Kampung Bendang Raja, Kampung Syed Ahmad, Kampung Tok Set, Kampung Pokok Asam, Kampung Belat, Titi Akar, Sungai Tiang Padang Durian, Kampung Sewa, Padang Pusing, Bukit Tegur, Bendang Pulai dan kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Selasa.

Radzuan berkata, projek bernilai RM3.1 juta itu dilaksanakan melalui peruntukan SADA menerusi kaedah perolehan secara tender terbuka, berkonsepkan reka dan bina.

“Seperti kelaziman, pengurangan operasi LRA Jeneri akan berlaku sebanyak dua kali dalam sebulan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pencucian di tangki mendapan.

Radzuan (kanan) ketika meninjau operasi tangki mendapan tambahan di LRA Jeneri.
Radzuan (kanan) ketika meninjau operasi tangki mendapan tambahan di LRA Jeneri.

“Dengan penambahan sebuah lagi tangki mendapan ini, kerja-kerja cucian dapat dilakukan tanpa mengganggu pengoperasian keseluruhan LRA Jeneri,” jelasnya.

Menurutnya, proses pengenapan merupakan peringkat keempat dalam proses rawatan air selepas penyaringan, pengudaraan dan pengentalan menyebabkan mendapan yang terhasil daripada proses tersebut mendap secara graviti di tangki mendapan.

“Air yang separa bersih itu akan melalui proses seterusnya iaitu penapisan. SADA berharap LRA Jeneri dapat berfungsi dengan lebih baik seterusnya menyalurkan bekalan air terawat yang konsisten dan berkualiti kepada penduduk sekitar,” ujarnya.

Radzuan turut memaklumkan, sehingga kini tiada notis gangguan bekalan air dikeluarkan oleh SADA melibatkan kerja-kerja cucian tangki mendapan di LRA Jeneri setelah projek berkenaan selesai dilaksanakan.