Peniaga di Melaka diberi geran jalankan perniagaan tanpa tunai

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Peniaga di Melaka dalam pelbagai sektor akan diberi geran khas bagi menggalakkan mereka menjalankan urusan perniagaan menggunakan kaedah tanpa tunai.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemberian geran berkenaan merupakan satu daripada kaedah untuk menggalakkan peniagaan kecil dan sederhana menyediakan perkhidmatan berkenaan bagi memudahkan pelanggan selain membantu Melaka ke arah negeri tanpa tunai.

Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Kita menggalakkan semua peniaga di Melaka sama ada peniaga kecil seperti peniaga pasar malam, dan mereka yang menjaja di tepi jalan menggunakan pembayaran tanpa tunai.

"Kaedah ini bukan sahaja memudahkan malah lebih selamat dan ia satu daripada usaha kerajaan negeri di bawah inisiatif dalam Blueprint Smart Melaka 2035," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Terdahulu, Ab Rauf berkata, SMIX2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini disertai kira-kira 100 pempamer daripada sektor digital serta bandar pintar dari dalam dan luar Melaka.

Beliau berkata, SMIX 2023 yang merupakan penganjuran kali kedua itu bertujuan memperluas pelaksanaan inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah "Smart Melaka Blueprint 2035" selari dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 iaitu pendigitalan dalam ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, enam kampung di Melaka dipilih sebagai perintis pelaksanaan Inisiatif Kampung Digital yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa terdekat.

"Inisiatif Kampung Digital merupakan antara langkah progresif dalam memodenkan komuniti kampung di negeri ini selain untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk kampung.

"Menerusi kaedah ini, nama dan alamat kampung terlibat dilakukan dalam bentuk digital selain menyusun semula kedudukan rumah dalam kampung berkenaan agar lebih sistematik dan tersusun," katanya.

Pelaksanaan Inisiatif Kampung Digital bertujuan mengatasi isu ketiadaan alamat rumah atau tidak jelas bagi memudahkan aspek pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan alamat rumah.

Menerusi inisiatif itu, data perangkaan tentang jumlah rumah sebenar di negeri itu dan juga sempadan kampung sebenar dapat diperoleh. - Bernama