'Kalau tak suka, sila bawa usul keluarkan saya' - Johari

Johari
Johari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah Dewan Rakyat kecoh angkara ‘anak bapak’, Tan Sri Johari Abdul tampil menjelaskan keputusan membenarkan usul Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dibahaskan dalam kamar khas.

Speaker Dewan Rakyat itu menjelaskan, ini kerana usul yang dibawa Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) pada Selasa lalu tiada kaitan dengan isu penting seperti beras putih tempatan yang disorok.

“Saya nak betulkan beberapa perkara yang terjadi berkenaan isu yang telah dibawa dan dibahaskan berkenaan membenarkan usul Ahli Parlimen Sungai Petani di kamar khas.

“Ya, Arau telah memasukkan usul pada 10 Oktober (Selasa) pukul 7.45 petang dan 11 Oktober, 5.34 petang. Usul yang Arau bawa bukan isu padi tetapi penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kanan awam dalam kempen politik dan isu kekurangan tenaga kerja dalam bidang kejururawatan serta sektor kedai gunting rambut.

“Tiada sangkut-paut dengan isu padi yang disorok. Saya kira apa yang dibangkitkan mengenai tidak berlaku adil, tidak memberikan peluang berucap, salah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Ketika sesi pagi sidang Dewan Rakyat, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menyebut istilah ‘anak bapak’ dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan kekeluargaan antara Johari yang merupakan bapa kepada Mohammed Taufiq.

Dalam pada itu, Johari berkata, beliau juga telah dituduh tidak berlaku adil kepada Shahidan susulan memberi laluan usul Mohamed Taufiq dibahaskan terlebih dahulu, sekali gus menerima cacian di media sosial.

Disebabkan itu, beliau rasa tersinggung dengan tuduhan tersebut dan berharap perkara berkenaan tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

“Saya cukup terasa dan sangkaan itu melukakan. Jadi cukuplah. Jika kalian mahu main politik, silakan. Jangan libatkan speaker, biarlah sesama kalian. Kalau speaker terlibat jadi susah.

“Saya tidak dilantik oleh mana-mana parti politik (tetapi) dipilih di bawah Perlembagaan. Jika anda tidak suka saya, sila bawa usul, keluarkan saya dari sini.

“Selagi saya di sini dan bila ada peraturan, dengar. Saya tidak bermain politik (tetapi) saya benarkan anda buat demikian. Kalau saya bagi ruang, silakan tetapi jangan serang speaker. Anda tidak akan dapat apa-apa dengan menyerang speaker,” ujarnya.