Budak lapan tahun maut protes di India

Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan semasa bantahan di Meerut. - Foto: AFP
Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan semasa bantahan di Meerut. - Foto: AFP
A
A
A

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dan empat penunjuk perasaan yang lain terkorban di India dalam pertempuran terbaharu antara polis dan perusuh susulan bantahan terhadap undang-undang kerakyatan, kata pihak berkuasa hari ini.

Kematian terbaharu itu menjadikan angka korban meningkat kepada 20 orang ketika protes memasuki minggu kedua.

Jurucakap polis, Shirish Chandra berkata, kematian terbaru itu berlaku di Uttar Pradesh selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan di utara Lucknow dan di selatan Mangalore.

Kanak-kanak malang itu maut selepas dirempuh perusuh yang melarikan diri daripada anggota polis semasa bantahan di Varanasi.

Akta Pindaan Kerakyatan (CAB) menerima bantahan keras kerana ia dilihat sebagai anti-Islam.

CAB diluluskan Parlimen India pada Rabu lalu, membolehkan kerakyatan diberi kepada jutaan pendatang haram Hindu, Sikh, Jain dan Kristian dari Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh kecuali beragama Islam yang memasuki India pada atau sebelum 31 Disember 2014.

Pengkritik mendakwa rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada agenda Perdana Menteri, Narendra Modi dan nasionalis Hindu bagi mengecilkan populasi penduduk Islam yang berjumlah 200 juta orang di negara berkenaan.

Modi berulang kali menafikan tuduhan berkenaan. - AFP

Artikel Berkaitan: