Seremban kedua tertinggi kes tipu dalam talian

Foto hiasan - 123RF, gambar kecil: Ahmad Dzaffir
Foto hiasan - 123RF, gambar kecil: Ahmad Dzaffir
A
A
A

SEREMBAN - Seremban merupakan daerah kedua tertinggi di negara ini bagi jumlah kertas siasatan yang dibuka membabitkan penipuan dalam talian sejak Januari hingga September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, daerah berkenaan berada di belakang George Town, Pulau Pinang atau di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

"Di Negeri Sembilan, bagi kes 'scam' kita berada di lima teratas daripada 14 negeri di Malaysia, manakala mengikut daerah, daripada 157 IPD dalam Malaysia, kita (Seremban) di tempat kedua paling tinggi di belakang George Town.

"Bagi kertas siasatan yang dibuka Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk Januari hingga September, IPD Seremban mencatatkan 952 laporan. Di George Town pula 1,139 kertas siasatan," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Menurutnya, mengikut peredaran zaman dan teknologi, penipuan dalam talian telah berubah yang mana sindiket sentiasa mencari idea baharu bagi memerangkap mangsa.

Ujarnya, jika 10 tahun lalu, penipuan yang berlaku kebanyakannya mengenai 'parcel scam' dan 'love scam', tetapi disebabkan masyarakat suka membeli-belah dalam talian, ia kini menjurus penipuan berkaitan itu.

"Kena berhati-hati ketika membeli dalam talian. Terbaru, ada pihak yang menawarkan 'cashback' ketika menggunakan pasar dalam talian kononnya ada mendapat pulangan.

"Selepas menekan 'link' yang diberikan, dalam tempoh tertentu pembeli akan mendapati baki dalam akaun e-dompet berkurangan kerana sindiket sudah mencuri maklumat peribadi mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ada juga pihak yang tidak diiktiraf Tabung Haji atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melakukan penipuan yang menawarkan pakej umrah dan haji.

"Kena tengok pakej yang ditawarkan, jika ragu-ragu buat semakan syarikat berkenaan. Ada juga pegawai polis sendiri yang terpedaya dengan tawaran menunaikan ibadah haji ini," katanya.