Bekerja, kahwin antara punca murid berhenti sekolah

Berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022. - Gambar hiasan
Berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak berminat, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak antara sebab utama murid berhenti, berdasarkan rekod dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dari tahun 2019 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bagaimanapun berkata, berdasarkan statistik kementeriannya, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022.

Menurutnya, kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 peratus pada tahun 2019 kepada 0.07 peratus pada tahun 2022 manakala peringkat menengah pula, ia menurun daripada 1.14 peratus pada tahun 2019 kepada 0.99 peratus pada tahun 2022.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2022, pada peringkat sekolah rendah keciciran murid yang melibatkan tahun 3, tahun 4 dan tahun 6 menunjukkan peningkatan manakala tahun 2 dan tahun 5 menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan 2 dalam tempoh tahun 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan melibatkan tingkatan 3, tingkatan 4 dan tingkatan 5 dalam tempoh berkenaan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memuktamadkan data kadar keciciran murid bagi tahun 2023 selepas menerima maklumat enrolmen daripada agensi selain KPM,” katanya semasa menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang bertanyakan tentang kadar keciciran daripada sistem sekolah dan langkah dibuat supaya mereka kembali bersekolah, di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Tambah Hui Ying, tiada keciciran murid perempuan pada peringkat sekolah rendah berbanding murid lelaki bagi tahun 2019 hingga tahun 2022.

Selain itu katanya, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 hingga tahun 2022 iaitu 0.16 peratus pada tahun 2019 kepada 0.09 peratus pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

“Pada peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding murid perempuan yang meningkat dari tahun 2019 kepada tahun 2022.

“Pada tahun 2019, kadar keciciran murid lelaki mencatatkan 0.72 peratus berbanding 0.29 peratus pada tahun 2022 manakala bagi murid perempuan pula mencatatkan 0.40 peratus pada tahun 2019 kepada 0.71 peratus pada tahun 2022,” jelasnya.

Tambah Hui Ying, KPM telah menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum.

Bantuan itu katanya, turut diagihkan untuk murid yang tercicir akibat kemiskinan seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS).

“KPM turut menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) dan modul kajian kes serta amalan terbaik menangani isu murid berisiko cicir dan murid cicir.

“Ia sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

“KPM juga melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sekolah ini telah diperluas dari 12 buah sedia ada kepada 17 buah,” katanya.

Ujar beliau, KPM juga telah menjalankan program outreach murid cicir di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah.

Pada tahun 2022, program ini telah berjaya mengembalikan seramai 5,121 orang murid sekolah rendah dan 1,711 orang murid sekolah menengah.