Kos sara hidup tinggi antara punca ramai gagal bayar hutang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kos sara hidup yang tinggi dan perancangan kewangan yang lemah merupakan antara punca utama rakyat di negara ini gagal membayar hutang atau mempunyai masalah hutang.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), 38.9 peratus menyatakan masalah kos sara hidup tinggi manakala 36.0 peratus pula mempunyai perancangan kewangan yang lemah.

"Dari segi umur yang paling banyak menghadapi masalah pembayaran hutang ini lingkungan 30 hingga 40 tahun iaitu sebanyak 41 peratus atau 162,922 orang manakala berdasarkan status perkahwinan, 77.0 peratus yang berkahwin," katanya ketika membuat kunjungan rasmi ke AKPK, pada Isnin.

Ini berdasarkan data sehingga Februari 2023, melalui 420,000 peserta yang menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK.

Beliau menambah, sejak 2014 hingga Mei 2023, seramai 31,140 individu daripada kumpulan belia didapati bankrap.

Dari segi pendapatan tahunan pula, Ahmad berkata, kira-kira satu pertiga yang mempunyai masalah adalah individu yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah (bulanan) atau kurang daripada RM24,000 setahun.

Punca lain yang menyebabkan individu gagal atau mempunyai masalah membayar hutang mereka ialah kegagalan atau kelembapan perniagaan (11.0 peratus), kehilangan kerja atau dibuang kerja dan kematian pencari nafkah (8.8 peratus), kos perubatan yang tinggi (4.9 peratus) dan lain-lain (0.4 peratus).

"Masalah ini jika mereka tidak mendapatkan pandangan profesional, masalah itu akan terus merebak dan membesar.

"Jadi eloklah mengatur perjumpaan dengan AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat, bukan bila ada masalah itu merebak dan membesar, baru berjumpa dengan AKPK.

"Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit oleh AKPK adalah percuma. AKPK tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk mewakilinya dalam apa jua urusan," kata Ahmad.

Selain itu, AKPK katanya juga menyelesaikan masalah kredit yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan sebanyak 1,400, dengan jumlah RM2.6 bilion, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azadin Ngah Tasir berkata, terdapat peningkatan dari segi jumlah individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Bagaimanapun, hanya sekitar 30 peratus yang menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK sementara selebihnya berjaya diselesaikan tanpa menyertai program AKPK.

Sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 sehingga Februari 2023, lebih 1.2 juta individu telah mendapatkan khidmat nasihat AKPK.

Daripada jumlah itu, dengan tempoh maksimum 10 tahun penyertaan dalam PPK, 420,000 individu yang mendaftar ke program tersebut menyaksikan sekitar RM2.5 bilion tunggakan hutang telah diselesaikan.

AKPK mempunyai 11 cawangan di seluruh negara dan semua akses kepada sumber dan perkhidmatan AKPK, termasuk Portal POWER! dan Pusat Sumber, boleh didapati melalui web AKPK di www.akpk.org.my. - Bernama