TMP2024: 90 acara pelancongan disediakan sepanjang tahun

Sze Yee mewakili Saarani diperkenalkan dengan maskot pelancongan baharu, Kopita pada pelancaran 'Perak Internal Wrapping' perkhidmatan tren elektrik (ETS) di Kuala Lumpur. - Foto Pejabat Exco
Sze Yee mewakili Saarani diperkenalkan dengan maskot pelancongan baharu, Kopita pada pelancaran 'Perak Internal Wrapping' perkhidmatan tren elektrik (ETS) di Kuala Lumpur. - Foto Pejabat Exco
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri bersedia menyambut kehadiran lapan juta pelancong dari dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak 90 acara pelancongan di peringkat daerah dan negeri dengan slogan 'Promising Perak' disediakan sepanjang tahun.

Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf lokasi pelancongan dan aktiviti promosi juga sedang giat dilakukan bagi menarik lebih lagi minat pelancong untuk datang ke Perak.

"Inisiatif dan aktiviti promosi ini tidak akan terhenti di program ini sahaja, pelbagai perancangan dan perlaksanaan akan diadakan sebelum dan semasa Tahun Melawat Perak 2024 seperti mewujudkan pakej khas pelancongan Railtourism, pengiklanan khas di Media Prima dan Perak FM, pengiklanan khas di tiktok.

"Kita telah diperkenalkan dengan maskot pelancongan baru iaitu Kopita diberi nama daripada singkatan kopi tarik. Maka dengan ini pelancongan di Perak telah mempunyai dua maskot utama iaitu Kopiro dan Kopita," katanya pada majlis pelancaran 'Perak Internal Wrapping' perkhidmatan tren elektrik (ETS) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.

Saarani berkata, pengiklanan khas sempena Tahun Melawat Perak ini akan dilaksanakan selama 18 bulan bermula Oktober 2023 hingga Januari 2025.

"Enam tema utama akan diketengahkan iaitu warisan, makanan, alam semula jadi, hiburan dan keluarga serta kraftangan yang terdapat di negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 90 acara pelancongan disediakan sempena TMP 2024. - Foto Pejabat Exco
Sebanyak 90 acara pelancongan disediakan sempena TMP 2024. - Foto Pejabat Exco

"Tema-tema ini dipilih untuk memberikan pengalaman merasai suasana seperti kita berada di negeri sendiri," katanya.

Sementara itu, Tourism Perak dalam satu kenyataan memaklumkan kod pengimbas disediakan untuk memudahkan pengguna ETS mendapatkan secara terus informasi pelancongan di negeri menerusi peranti pintar masing-masing.

"Seramai 200,000 orang akan menggunakan perkhidmatan ini pada setiap sebulan yang meliputi wilayah tengah, utara dan selatan semenanjung Malaysia dengan frekuensi 32 perkhidmatan perjalanan setiap hari dengan purata 11,000 penumpang setiap hari.

"Untuk makluman pada tahun 2022, lebih daripada 2.14 juta penumpang menggunakan perkhidmatan ETS di Perak dan antara stesen tertinggi adalah Ipoh dengan 911,286 penumpang, Taiping (290,024 penumpang) dan Batu Gajah (228,312 penumpang)," katanya.

Tambahnya, perkhidmatan ETS akan menawarkan pelbagai sajian istimewa negeri antaranya rendang tok, kuih dangai, kopi putih Ipoh, kacang buntong dan produk kesihatan Hovid.

"Tourism Perak juga akan mengedarkan kalender acara Tahun 2024 kepada semua penumpang ETS.

"Pelaksanaan acara pelancongan sepanjang tahun 2024 secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong dalam usaha mencapai mencapai sasaran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa," katanya.