Bina Universiti Johor bukannya murah: Khaled

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembangunan Universiti Johor dianggap tidak sesuai dilaksanakan jika dilihat berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Naib Presiden Umno, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu juga berikutan tiadanya suntikan dana daripada kerajaan persekutuan kerana kekangan kewangan yang dilaporkan berlaku.

"Manifesto PH untuk menubuhkan Universiti Johor adalah sesuatu yang sukar dilaksanakan kerana ia akan membebankan kerajaan negeri.

"Kerajaan pusat tidak akan membiayai penubuhan universiti baharu ini kerana kekangan kewangan dan unjuran perbelanjaan yang sangat besar. Maka beban pembiayaan akan terpaksa dipikul oleh kerajaan negeri.

"Membiayai operasi dan pembangunan sebuah universiti bukanlah kecil, terutamanya dalam menarik tenaga akademik berkaliber dan penyediaan prasarana yang termaju selain yuran dikenakan pula tidak boleh tinggi dan harus kompetitif," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga mahu keputusan itu kembali dipertimbangkan memandangkan negara termasuk Johor sudah mempunyai jumlah universiti awam yang cukup.

"Semasa saya menjadi Menteri Pengajian Tinggi, adalah menjadi pendirian kementerian untuk tidak menggalakkan penubuhan universiti awam ataupun universiti swasta milikan kerajaan negeri.

"Kita mempunyai jumlah universiti awam yang amat mencukupi, komprehensif dan mahal untuk dibiayai. Jumlah universiti swasta juga bertumbuh dengan pesat selain kemasukan cawangan universiti-universiti antarabangsa ke dalam negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pemberian dermasiswa dan biasiswa adalah lebih relevan bagi membantu pelajar dari negeri ini mengikuti pelbagai bidang yang mereka minati di universiti sedia ada.

"Jika Johor mempunyai kemampuan kewangan, maka saranan saya ialah membantu menempatkan pelajar Johor di Institut Pengajian Tinggi awam dan swasta ataupun kampus antarabangsa universiti luar negara.

"Kerajaan negeri juga wajar mempertimbangkan pengenalan sistem baucar untuk pendidikan tinggi kepada anak-anak Johor yang berkelayakan sebagai sebahagian daripada subsidi pendidikan tinggi mereka," katanya.