Penduduk tarik nafas lega...

Laluan baharu yang sudah dibuka untuk kegunaan penduduk Kampung Lombong sejak semalam.
Laluan baharu yang sudah dibuka untuk kegunaan penduduk Kampung Lombong sejak semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah bertahun-tahun terpaksa melalui jalan rosak teruk akhirnya pengguna dan penduduk Kampung Lombong, Seksyen 29 di sini lega apabila jalan baharu dibuka kepada mereka kelmarin.

Sebelum ini, pengguna dan penduduk kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang besar dan rosak itu kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar kampung yang menghubungkan dengan kawasan luar.

Pengguna, Zaid Abu Hassan,38, berkata, meskipun keadaan jalan baharu itu belum nampak sempurna sepenuhnya namun dia lega tidak perlu lagi menempuh jalan rosak ke tempat kerja setiap hari.

Menurutnya, tekanan dialami penduduk kampung berkurangan apabila laluan baharu lebih selesa itu mula dibuka.

"Tayar kereta saya pernah bocor di laluan itu beberapa bulan lalu, itu belum lagi kos kerugian ditanggung apabila penyerap hentakan kenderaan turut rosak.

"Lega rasa bila jalan baharu ini dibuka walaupun keadaan laluan itu ketika ini nampak macam tidak sempurna lagi," katanya.

Seorang lagi pengguna, Zamirah Zainal, 25, berharap, pihak berkuasa memastikan kenderaan berat tidak melalui jalan baharu itu untuk mengelakkan ia rosak.

Menurutnya, sebelum ini di laluan lama terletak bersebelahan jalan baharu itu, kenderaan kecil terpaksa beralah dengan kenderaan berat yang sering 'makan jalan' untuk mengelak daripada melanggar lubang.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dibuka semalam saya nampak ada pekerja yang jaga laluan tak bagi kenderaan berat masuk ke jalan baharu. Harap supaya arahan itu berpanjangan bagi elak jalan baharu ini rosak.

"Saya juga berharap ciri-ciri keselamatan dapat dipertingkatkan di laluan baharu ini untuk keselamatan pengguna," katanya.

Pada 8 Disember lalu Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Lombong mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turun padang melihat sendiri jalan utama kampung berkenaan yang didakwa mengalami kerosakan teruk dan berlubang besar membahayakan pengguna jalan raya.

Pengguna menggambarkan kerosakan jalan dengan lubang sebesar 'kawah' seperti keadaan terkena bom dan lebih membahayakan apabila pengguna terpaksa beralah dengan lori hantu yang turut menggunakan laluan sama dipercayai ke kawasan pembinaan.

Menurutnya, pernah beberapa kali penunggang motosikal terhumban ke permukaan jalan pada waktu malam kerana tidak perasan kewujudan lubang di tengah laluan.