Jangan salah guna bantuan untuk mangsa banjir

Wan Rosdy bertanyakan sesuatu kepada mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit.
Wan Rosdy bertanyakan sesuatu kepada mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit.
A
A
A

TEMERLOH - Menteri Besar Pahang mengingatkan mana-mana pihak tidak menyalahgunakan bantuan dan kemudahan disediakan pihak kerajaan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan dan kemudahan tersebut sebaliknya perlu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak menolak kemungkinan wujud segelintir pihak mengambil kesempatan membuat tuntutan bencana tersebut walaupun tidak terlibat banjir.

"Setakat ini, saya tiada lagi mendengar aduan mereka yang tidak terlibat membuat tuntutan tapi kalau perkara ini berlaku, saya yakin perkara ini dapat dikesan kerana Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau pejabat daerah sendiri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan maklumkan kepada pihak terlibat.

"Kemungkinan saya tidak nafikan, namun setakat ini belum terima aduan dan nasihat saya kepada mereka, jangan berbuat sedemikian kerana bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk mereka yang menjadi mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Razihan Adzharuddin dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rasul Mat Yurit dan Pengerusi MPKK Sungai Buloh, Ahmad Jaffri Dolah.

Sementara itu, Wan Rosdy berpuas hati dengan kemudahan disediakan di PPS terlibat setakat ini.

"Alhamdulillah, saya dapati segalanya bersesuaian dengan apa yang sepatutnya. Saya sempat berbual dengan mangsa tadi dan nampak tiada masalah serius, malah dari air muka mereka (mangsa) nampak berpuas hati," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan negeri tetap akan mengambil usaha untuk memantapkan dan menambah baik dalam menangani bencana banjir di negeri itu.

"Tunggu selepas ini. Kita akan buat kajian atau 'post mortem' untuk tambah baik. Keadaan dah bertambah baik, selesa tapi kita akan sentiasa berusaha membuat penambahbaikan," katanya.

Di PPS SK Batu Kapor sehingga jam 11 pagi, seramai 283 mangsa melibatkan 79 buah keluarga ditempatkan di PPS terbabit.