X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan berjaya turun nisbah hutang, liabiliti: Guan Eng

Guan Eng
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan kepada 77.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun lalu daripada 79.3 peratus pada akhir 2017 seperti diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Hutang, baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dalam masa sederhana, kerajaan turut menyasarkan untuk menurunkan lagi nisbah hutang dan liabiliti kepada 65 peratus pada 2025.

“Ini menunjukkan kejayaan dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha konsolidasi hutang dan liabiliti.

“Untuk 2019, sasaran defisit fiskal sebanyak RM52 bilion atau 3.4 peratus berbanding KDNK akan dicapai seperti yang dilaporkan oleh pihak Bank Dunia dan IMF.

“Ini merupakan penurunan daripada defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus pada 2018 dan hasil daripada kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan tender terbuka dan penjimatan kos kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hutang langsung dijangka meningkat sebanyak RM52 bilion pada tahun ini untuk menampung perbelanjaan pembangunan negara yang diluluskan Parlimen pada 2018.

“Kerajaan perlu membiayai projek infrastruktur pengangkutan awam dan utiliti seperti Transit Aliran Ringan (LRT) 3, Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan Lebuhraya Pan Borneo dengan kos keseluruhan melebihi RM75 bilion.

“Di samping itu, kerajaan juga perlu menanggung RM20 bilion untuk menyelamatkan Tabung Haji (TH) demi melindungi kepentingan pendeposit selepas juruaudit antarabangsa mendapati pengurusan terdahulu telah memalsukan akaun (TH) untuk menyembunyikan kerugian yang besar dan membayar hibah yang tinggi walaupun tiada keuntungan,” katanya.

Guan Eng berkata, pengesahan agensi penarafan kredit antarabangsa ke atas penarafan kredit berdaulat Malaysia pada paras A- atau A3 dengan unjuran stabil bukti kukuh kerajaan PH berhemah dan telus dalam pengurusan fiskal kerajaan.

“Keyakinan badan dan pelabur antarabangsa mematahkan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang memutarbelitkan fakta untuk menyebarkan maklumat palsu berkaitan kedudukan hutang dan liabiliti negara, termasuk fitnah bahawa Kementerian Kewangan menjual aset dan hartanah negara.

“Perlu ditegaskan bahawa saya belum meluluskan sebarang penjualan aset dan hartanah negara, yang sebenarnya dijalankan oleh agensi lain yang tidak ada kaitan dengan Kementerian Kewangan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!