Jual arak bebas cukai di Pulau Pangkor sedang dipertimbang

Pulau Pangkor
Pulau Pangkor
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Minuman keras sedia dipertimbangkan untuk dijual di Pulau Pangkor yang bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang Januari 2020.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, pengecualian arak sebagai item bebas cukai masih belum dimuktamadkan oleh jawatankuasa induk.

"Kerajaan negeri akan sentiasa mengkaji semula dasar tersebut jika ada permintaan yang munasabah ataupun ada dasar lebih menjaga pemain industri atau penduduk setempat, kita akan kaji semula.

"Mungkin akan ada tempat-tempat tertentu yang boleh (jual) atau jika tiada permintaan, kita takkan jalan atau benarkan arak sebagai barangan bebas. Setakat ini, arak sahaja tidak disenaraikan dalam barangan bebas cukai," katanya ketika mengulas soalan pemberita mengenai dakwaan pemain industri pelancongan tempatan yang memaklumkan arak dan rokok tersenarai sebagai barangan bebas cukai.

Beliau ditemui pada program Jelajah Persona Selangor 2019 - Edisi Negeri Perak yang dihadiri Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari di sini hari ini.

Kar Hing berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan arak akan dimasukkan sebagai item jualan di pulau berkenaan pada masa akan datang.

Beliau turut mengesahkan bahawa rokok telah dimasukkan sebagai barang bebas cukai.

"Apa yang kita telah bersetuju untuk dijadikan barangan bebas cukai adalah semuanya termasuk rokok.

Artikel Berkaitan:

"Arak belum lagi dimuktamadkan. Setakat ini, ia masih belum dibenarkan," katanya.