Minuman keras bernilai RM1.11 juta dirampas

Hamisan (kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Georgetown pada 29 Mei lalu.
Hamisan (kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Georgetown pada 29 Mei lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tidak berkastam bernilai RM1.11 juta dan menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Georgetown, pada 29 Mei lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, serbuan dilakukan jam 5 petang itu hasil risikan dan maklumat diterima pihaknya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap ialah penjaga stor dan penyewa premis berusia 40 dan 70 tahun

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui 4,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM423,367.50 dengan cukai sebanyak RM694,211.37.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hamisan berkata, pihak kastam juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1.4 kilogram (kg) dadah heroin menggunakan perkhidmatan kurier.

Katanya, tindakan itu dikesan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara Kedua, Batu Maung pada Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan rapi dari Unit Narkotik menemui dadah berkenaan yang disorokkan dalam enam bekas serbuk minuman suplemen.

“Tiga daripada enam bekas serbuk minuman tersebut telah digantikan dengan kandungan dadah disyaki heroin yang kita dapat bezakan melalui warna asal serbuk minuman suplemen itu yang berwarna krim berbanding heroin yang berwarna putih,"katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hamisan berkata, kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM132,375 dipercayai mahu dihantar ke sebuah negara di kawasan Oceania dengan membuat pengikraran sebagai satu produk makanan tambahan organik.

Jelasnya, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya sedang mengenal pasti individu terlibat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) semasa bungkusan ditinggalkan di pusat kurier.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.