Mahalnya sebuah demokrasi

A
A
A

MENELITI perkembangan sistem demokrasi yang diamalkan hampir di serata dunia sekarang, tidak keterlaluan dirumuskan bahawa harga yang perlu dibayar untuk membiayai sistem itu sangat mahal. Harga yang dimaksudkan ialah nilai wang dan juga nilai moral.

Bukan setakat kos pengurusan institusi demokrasi yang berkait dengan pilihan raya, pembiayaan parti politik amat tinggi, malah harga sosial dan moral yang datang bersama sistem demokrasi juga dinilai amat tinggi.

Melaksanakan pilihan raya umum sebagai salah satu mekanisme demokrasi boleh menelan belanja ratusan juta ringgit. Belum lagi wang yang beredar untuk meraih sokongan. Jutaan lagi akan dikeluarkan untuk menjamin kemenangan.

Menjadi sebuah negara yang mendakwa paling demokratik sangat sukar. Demokrasi sering dikaitkan dengan hak dan kebebasan. Sesungguhnya tidak mudah membina garis pemisah antara hak dan kebebasan bersuara dengan tanggungjawab menjaga keamanan dan keharmonian.

Atas nama demokrasi ada sahaja pihak yang mendakwa berhak melontarkan kata-kata dan pendapat secara bebas tanpa mempedulikan kesan kepada masyarakat awam dan keamanan negara. Ada sahaja pihak yang menggerakkan perhimpunan di jalanan untuk memprotes atau menyokong sesuatu pihak.

Kini atas nama hak demokrasi, dunia menyaksikan kebangkitan rakyat di Chile, Bolivia, Colombia, Brazil, India, Venezuala, Perancis, Iraq, Lebanon, Iran dan Hong Kong.

Banyak pihak yang menuntut kepentingan kelompok masing-masing atas alasan demokrasi. Malah atas alasan telah memilih wakil rakyat pada pilihan raya demokrasi daripada parti tertentu yang mewakili kaum tertentu itu juga menyuarakan tuntutan sendiri.

Memang demokrasi yang disepakati berdasarkan konteks sejarah sesebuah negara biasanya adalah hasil peninggalan penjajah.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, kita memilih demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kemerdekaan kita memberi jus soli (kerakyatan) kepada mereka yang didatangkan dari luar. Demokrasi negara ini juga terbingkai dalam kontrak sosial yang menjaga hak keistimewaan kaum bumiputera.

Dengan semua permuafakatan itu kita melaksanakan sistem demokrasi yang disepakati secara nasional. Yang jelas memang beban demokrasi sangat berat. Negara perlu mewujudkan sedemikian banyak institusi untuk melaksana sistem demokrasi.

Daripada mewujudkan sebuah agensi suruhanjaya pilihan raya yang bebas yang diikat dengan undang-undang sehingga memastikan integriti dan wibawa demokrasi negara tidak digugat.

Demokrasi mahal harganya dari segi moral. Banyak insiden aktor demokrasi dalam gelanggang politik saling menyerang peribadi untuk menjatuhkan lawan. Kerana parti menjadikan rakyat sebagai gelanggang bermain politik. Lalu demokrasi melahirkan pelbagai parti politik atas pelbagai ideologi atas bermacam nama.

Nilai moral dan prinsip kadang kala tergadai dalam demokrasi. Melompat parti, menubuh parti baharu, bergabung parti atas pelbagai alasan menjadi kelaziman dalam demokrasi. Akan tetapi tumpuan dan matlamat tetap sama iaitu meraih sokongan rakyat dan mendapat kuasa.

Demokrasi atas slogan ‘dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’ bermain di bibir para politikus berkumandang terutama tatkala musim pilihan raya. Tidak sedikit perbelanjaan yang perlu dikumpul oleh parti dan calon yang bertanding. Daripada wang pertaruhan sehingga perbelanjaan berkempen.

Memang kita mahu menjadikan demokrasi itu kelihatan meriah dan hidup. Akan tetapi dari beban kewangan yang terpaksa ditanggung itulah yang mengheret ramai pesaing politik terperangkap dengan politik wang. Ada daripada penaja peribadi, ada daripada syarikat, ada daripada pembiaya luar negara. Di saat ghairah untuk menang dalam pertandingan politik demokrasi, keadaan menjadi sangat kotor.

Cash is King. Demikian demokrasi yang tadinya mahu memberi peluang setiap warga punya suara untuk menentukan masa depan mereka, kini terpaksa menanggung bayaran yang terlalu mahal untuk menyertai demokrasi.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu