X

Kindly register in order to view this article
!

Klopp lega langkah Liverpool tidak terhenti

Pemain Liverpool meraikan kejayaan menewaskan Monterrey. - Foto EPA/Ali Haider
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui lega apabila pasukannya mara ke final Piala Dunia Antara Kelab selepas menang ke atas kelab Mexico, Monterrey 2-1 awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Liverpool mendahului seawal minit ke-11 melalui jaringan Naby Keita sebelum penyerang Monterrey, Rogelio Funes Mori menjaringkan gol penyamaan tiga minit berselang.

Gol kemenangan hanya tiba pada minit ke-91 selepas Roberto Firmino menyudahkan hantaran Trent Alexander Arnold sekali gus mengesahkan kemaraan The Reds ke perlawanan akhir.

Klopp mengakui ia perlawanan yang sukar apatah lagi beliau kehilangan beberapa pemain penting termasuk pertahanan kental, Virgil van Dijk yang tidak cergas untuk diturunkan dalam perlawanan itu.

"Monterrey memberikan tentangan yang cukup sengit kepada kami hari ini. Mereka bertahan dan menyerang dengan baik.

"Saya sebenarnya sudah menjangka kami akan menghadapi tugas sukar di sini dengan kami terpaksa mengubah kesebelasan yang akan diturunkan selepas beberapa pemain tidak cergas sepenuhnya.

"Namun pujian tetap perlu diberikan kepada pemain dengan kesebelasan utama yang agak 'ganjil' kami masih mampu menguasai permainan dan menang," katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui risau apabila Liverpool kemungkinan terpaksa bermain dalam masa tambahan selepas diikat 1-1 sepanjang 90 minit perlawanan.

"Sehingga penghujung perlawanan, saya sangat risau sekiranya kami terpaksa bermain di masa tambahan dan ia akan menyukarkan kami kerana perlu memastikan setiap pemain cergas untuk perlawanan akhir.

"Tetapi, nasib baik Firmino beraksi cemerlang walaupun dimasukkan sebagai pemain gantian, dia mencipta impak segera dan menjaringkan gol," katanya.

The Reds akan menentang kelab Brazil, Flamengo di perlawanan akhir pada Ahad ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus